Awal bulan ini, suasana sebak menyelubungi lobi Mahkamah Rayuan apabila bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim selepas membenarkan rayuan Mohd. Isa selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap pertuduhan.
Antara dapatan mahkamah ketika membuat keputusan apabila tiada bukti menunjukkan kod ‘salam’ antara Mohd. Isa Tan dan bekas pegawai khas politiknya iaitu Muhammad Zahid Md. Arip berkaitan wang rasuah.
Meskipun ada sesetengah pihak cuba mempertikaikan keputusan itu, namun kita perlu sedar akan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dengan mewujudkan konsep pemisahan dan pengasingan kuasa.
Peguam dan pengamal undang-undang, Muhammad Amin Abdullah berpendapat, sebarang keputusan hakim adalah berdasarkan prinsip undang-undang.
“Perkara ini bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana ia memerlukan pemahaman dan pengetahuan yang mendalam bagi mentafsir undang-undang untuk diaplikasikan ke atas kes yang dibicarakan.
“Ini kerana, sesuatu kes yang diputuskan akan menjadi panduan kepada pengamal undang-undang di masa akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai ketidakpuasan hati sesetengah pihak, beliau berkata, situasi itu memang sentiasa berlaku.
Katanya, masyarakat perlu ingat, sesuatu keputusan mahkamah tidak tertakluk kepada apa yang difikirkan sesuai oleh orang awam.
“Apa yang penting adalah keputusan itu dibuat mengikut lunas undang-undang supaya keadilan dilaksanakan dan mestilah dilihat terlaksana.
“Apa-apa sahaja keputusan mahkamah hendaklah dihormati, dijunjung dan diraikan demi kedaulatan dan kesaksamaan undang-undang walaupun ia tidak menepati cita rasa kita,” ujarnya.
Kata beliau, proses undang-undang berlaku berdasarkan penetapan Perlembagaan dan ia dilaksanakan secara adil tanpa dipengaruhi unsur luar dalam menyimpulkan keputusan kehakiman.
Justeru, rakyat dinasihatkan menghormati keputusan itu selain perlu mengetahui bahawa peruntukkan undang-undang turut memberikan peluang kepada perayu.
Pada masa sama, rakyat perlu memahami secara terperinci sistem kehakiman negara serta mengamati ketelusan dan keadilan prinsip Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.
Terdahulu, dalam kes keputusan berprofil tinggi yang terbaharu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman tali gantung ke atas enam lelaki atas sabitan membunuh
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.
Keenam-enam lelaki terbabit ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 61, pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 32, A K Thinesh Kumar, 31, M. Vishwanath, 34, dan S. Nimalan, 31.
Dalam penghakiman ketika memutuskan keputusan itu, panel hakim berpendapat kejadian pembunuhan terhadap si mati (Kevin Morais) adalah sesuatu yang dirancang dengan rapi dan luar biasa daripada yang biasa-biasa.














