fbpx

Khalwat Aliff, Ruhainies, tuntutan cerai Bella ‘goncang’ Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEPANASAN kes khalwat Aliff Aziz, Ruhainies dan tuntuntan cerai Bella terhadap selebriti asal Singapura itu mengisi minggu pertama Ramadan dengan kisah sensasi yang seolah-olah sukar terhenti.

DARJAH kontroversi kes khalwat selebriti sensasi, Aliff Aziz dan Ruhainies sejak Sabtu minggu lalu terus membahang, terutama ketika mereka belum memberikan penjelasan mengenai alasan keberadaan suami Bella Astillah di kediaman si ‘kawan’ baik.

Saban hari ada sahaja perkara baharu dikorek netizen dan portal berita sebagai medan perkembangan isu membabitkan dua bintang utama drama Terjerat dalam serbuanJabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu.

Perbetulkan keadaan

Mahu memperbetulkan keadaan, pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, mula menegur penulisan rata-rata yang menggelarkan kes serbuan tersebut sebagai ‘tangkap basah’.

“Ingin saya perbetulkan di sini, hati-hati dengan penulisan tajuk atau isi di dalam konten supaya tidak menimbulkan spekulasi lebih buruk yang mengelirukan dan mengeruhkan keadaan.

“Itu sama sekali bukan tangkap basah” tulisnya beberapa hari lalu.

Isu sama juga diketengahkan Aliff apabila mendakwa laporan penahanan penguat kuasa Jawi ditokok tambah serta terlalu banyak spekulasi berbanding cerita sebenar.

Beberapa hari terawal pelbagai andaian liar muncul yang mempersoalkan keintiman mereka memandangkan pelakon asal Singapura itu mempunyai sejarah ‘cinta lokasi’ dengan beberapa artis biarpun menyandang gelaran suami orang.

Rekod dipegang Aliff membuatkan rata-rata pemerhati menebak Ruhainies sebagai selebriti terkini dalam senarai cinta lokasinya, namun kemudian dinafikan Ruhainies.

“Saya dan Aliff hanyalah kawan dan kami kenal satu sama lain sejak lebih 10 tahun lalu. Sekarang pun kami berkawan dan selalu dilihat bersama kerana sedang menjalani penggambaran drama bersiri,” katanya.

Apa pun, kontroversi membabitkan penyanyi Sayang Sayang kali ini sudah sampai ke kemuncak apabila sah dicekup secara ‘rasmi’ berdua-duaan bersama si wanita cantik regu cinta lokasinya berbanding beberapa kisah panas sebelum ini.

Bahkan ada yang lebih berani menyenaraikan ‘kenakalan’ bapa kepada dua anak itu sepanjang terbabit dalam dunia seni semata-mata mahu mengimbas memori lampau.

Dari satu sisi lain, tangkapan khalwat berkenaan seolah-olah petanda Aliff lupa janji terhadap isteri, Bella yang memberikannya peluang entah kedua atau ketiga walaupun bagaikan baru semalam rumah tangga mereka bergegar dek keakraban si aktor tinggi lampai itu dengan pelakon jelita, Sophia Albarakbah.

Sikap Aliff disifatkan sesetengah individu umpama watak utama dalam siri telenovela 100 episod yang boleh bertukar karakter saat di dampingi karakter heroin baharu.

Tuntut cerai

Bukan saja netizen, ketika ini hampir seluruh wanita termasuk teman artis memberikan sokongan moral terhadap Bella yang berulang kali dicurangi belahan jiwa sendiri.

Lebih tragis apabila wanita yang ditangkap bersama suaminya itu adalah antara teman baik, juga tempatnya berkongsi cerita duka sebelum ini. Atas situasi tersebut, nama Ruhainies turut digugurkan penerbit drama, Datuk A. Aida untuk tiga drama terbitan syarikatnya, kemudian memilih Bella mengisi kekosongan tersebut dengan beberapa kontrak drama sehingga tahun depan.

Di pihak Bella, kesabarannya sudah sampai had apabila bertindak memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya 11 Mac (Isnin lalu), iaitu dua hari selepas episod kantoi Aliff dan Ruhianies.

“Saya kira perceraian adalah yang terbaik sekarang. Sudah banyak peluang diberikan. Saya harap Aliff dapat beri kerjasama dalam menyelesaikan kemelut ini,” luahnya yang nekad bercerai.

Bukan kali pertama, Bella dan Aliff sebelum ini pernah bercerai pada Mei 2019, namun rujuk semula pada tahun sama ketika masih dalam tempoh idah.

Ibarat dejavu juga barangkali, setiap kali Ramadan, ada sahaja pasangan selebriti baharu naik mahkamah menghitung cerai!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI