fbpx

Dhia Batrisyia dibawa ke HKL untuk pemeriksaan lanjut – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak perempuan, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang hilang sejak Selasa lalu, kini sedang menjalankan pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditemui selamat, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh orang awam di Sri Rampai, di sini, kira-kira pukul 2.20 pagi tadi.

Jelas beliau, satu pasukan khas digerakkan untuk mengesan kanak-kanak tersebut sebaik sahaja menerima laporan polis daripada ibu kanak-kanak itu.

“Beberapa petunjuk positif diperolehi hasil siasatan dan pengesanan yang dijalankan bermula pada 14 Mac lalu sehingga pada awal pagi tadi yang membawa kepada maklumat kanak-kanak tersebut berada di sekitar Taman Sri Rampai, di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan maklumat itu, Dellhan berkata, pihaknya telah berjumpa dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan itu bagi mendapatkan maklumat kira-kira pukul 1 pagi tadi.

“Kami kemudian dihubungi ibu mangsa memaklumkan ada orang awam yang menemui kanak-kanak berkenaan merayau bersendirian di lokasi terbabit,” ujarnya.

Noor Dellhan berkata, kanak-kanak itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan ketika ditemui.

Jelas beliau, kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan baik dan tiada mengalami sebarang kecederaan.

“Setakat ini, seramai lapan orang saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes ini.

“Kes disiasat di bawah kertas enkuiri polis (KEP) orang hilang dan tindakan lanjut bagi melengkapkan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Ibunya ,Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, Dhia ditemui di sebuah restoran sekitar Sri Rampai, di sini, awal pagi tadi.

Kelmarin, media melaporkan kanak-kanak perempuan tersebut telah keluar dari rumahnya di kawasan Perumahan Awam Jalan San Peng, di sini, Selasa lalu.

Syarifah berkata, perselisihan faham antara dia dan anak pertama daripada dua beradik itu dipercayai punca kanak-kanak tersebut keluar dari rumah. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI