fbpx

Dua pasangan ‘pelancong’ Thailand aktif edar dadah diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein pada sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

SUNGAI BULOH – Masuk sebagai pelancong sebelum menjalankan aktiviti pengedaran dadah, taktik licik dua pasangan suami isteri warga Thailand ditumpaskan pihak polis dalam serbuan di sebuah inap desa, sekitar Lembah klang, kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger telah diperiksa sebelum membawa kepada penemuan 40 ketulan ganja dengan anggaran berat 40.1 kilogram di kawasan Subang Jaya.

“Hasil siasatan tangkapan pertama, operasi diteruskan dengan serbuan di sebuah rumah di Ampang Jaya sebelum merampas 50 ketulan ganja dengan berat 50.3 kilogram.

“Serbuan itu kemudiannya membawa kepada tangkapan empat individu yang merupakan pasangan suami isteri warga Thailand di sebuah inap desa di Balakong, Kajang serta rampasan ketum dengan anggaran 1,500 mililiter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di ini, hari ini.

Kata Hussein, kesemua suspek yang ditahan ini berusia antara 26 hingga 32 tahun dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu berdasarkan semakan rekod yang dijalankan.

Jelas beliau, siasatan mendapati dadah ini dibawa dari negara jiran menggunakan khidmat transporter sebelum dua pasangan suami isteri ini akan menjualnya di pasaran sekitar Lembah Klang.

“Semakan rekod imigresen mendapati kedua pasangan ini telah masuk dua kali pada tahun lepas dan kali terakhir pada tahun ini sebelum ditangkap,” katanya.

Jelas Hussein, semakan rekod mendapati dua daripada enam suspek yang diberkas memiliki rekod jenayah lampau.

“Selain itu, saringan dijalankan mendapati dua suspek iaitu lelaki tempatan positif dadah.

“Nilai rampasan dadah bagi kes ini adalah sebanyak RM281,000 selain sitaan kenderaan dan pelbagai barangan kemas di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakkan harta) 1988,” katanya.

Sementara itu, Hussein turut memaklumkan satu lagi kejayaan tangkapan membabitkan kes dadah apabila seorang buruh binaan diberkas di kawasan tepi Jalan Sabak Bernam bersama 8,900 biji erimin 5 pada 10 Mac lalu.

Beliau berkata, suspek diberkas kira-kira pukul 3 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.

“Suspek berumur 44 tahun itu didapati memiliki lima rekod berkait dadah berstatus masih dikehendaki.

“Hasil saringan dijalankan mendapati suspek positif dadah selain rampasan dadah dijalankan dianggarkan bernilai RM145,000,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI