HARI ini sudah empat hari umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Seperti kebiasaan, Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan bagi mengumpul pahala sepanjang sebulan menunaikan Rukun Islam ketiga itu.
Tidak sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi banyak lagi perkara yang perlu dijaga termasuk pertuturan dan tingkah laku di media sosial.
Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Haeqal Ishak berkata, pada asasnya, apa sahaja perbuatan buruk yang menyakitkan saudara
Muslim merupakan perbuatan dosa tidak kira bagaimana bentuk sekalipun ia dilaksanakan.
“Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW, seseorang Muslim ke atas Muslim lain perlu dipastikan selamat daripada melakukan kejahatan lidah serta tangannya.
“Ia termasuk perbuatan buli siber atau menghamburkan kata-kata yang tidak enak melalui media sosial kepada saudara kita yang lain.
“Lebih-lebih lagi apabila perbuatan itu dilakukan ketika Ramadan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan ini,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, melakukan dosa di bulan mulia jelas menunjukkan seseorang itu tidak menghormati kehormatan Ramadan di saat umat Islam lain berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan mengejar pahala.
Ujarnya, terdapat segelintir daripada kita rela memilih untuk mengotori keindahan Ramadan dengan perbuatan nista, binasa dan sia-sia.
Justeru katanya, seorang Muslim haruslah meninggalkan perkara tersebut demi menjamin kesempurnaan pahala berpuasa mereka di sisi Allah.
“Amat rugi mereka yang seharian kepenatan menahan lapar dan dahaga pada akhirnya menjadi seorang yang muflis di sisi Allah disebabkan dosa mengumpat, mengeji dan memburuk-burukkan orang lain.
“Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.
“Justeru, janganlah menjadi seorang Muslim yang sebegitu kerana kita tidak tahu akan dapat bertemu Ramadan seterusnya atau tidak,” katanya.
Senada dengan Mohamad Haeqal ialah penceramah bebas yang juga merupakan pakar motivasi, Ustazah Isfadiah Mohd. Dasuki yang menjelaskan, konsep ihsan adalah satu platform yang berupaya memastikan kebertanggungjawaban seseorang umat terhadap apa sahaja perbuatan dilakukan.
Menurutnya, seorang Muslim yang ihsan akan senantiasa merasa dirinya diperhatikan oleh Allah yang Maha Melihat sehingga dirinya tidak tergamak melakukan sebarang perbuatan mungkar dan keji.
“Ihsan beragama Islam yang ihsan juga tahu bahawa dirinya kelak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa sahaja tindak tanduknya di atas muka bumi.
“Selain itu, sifat ihsan juga membuatkan kita merenung kedudukan orang yang kita zalimi sehingga seolah-olah kita dapat merasai betapa sakitnya dizalimi sehingga tidak sanggup untuk berlaku zalim lagi,” katanya.
Justeru, katanya, amalan meningkatkan pahala menerusi perkataan dan penulisan di bulan Ramadan amat dituntut dengan memperbanyak amalan baik.














