fbpx

Semak kod dahulu, elak terbeli kurma Israel – Mohd. Naim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Naim (tengah) bersama Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer (dua, kiri) dan Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail (dua, kanan) ketika menunjukkan replika cek Sumbangan Keseluruhan Iftar Rahmah Madani pada Majlis Pelancaran Iftar Rahmah Madani 1445H / 2024M di Masjid Al-Akram Datuk Keramat, Kuala Lumpur, hari ini. Foto SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya masyarakat Islam digesa untuk mengenal pasti terlebih dahulu kod yang terdapat pada bungkusan bagi mengelakkan terbeli kurma dari Israel.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar berkata, ia sekali gus mendidik masyarakat menjadi pengguna bijak.

“Banyak lagi produk kurma daripada pengeluar lain. Kena cakna pastikan sunah nabi yang nak dilaksanakan tu tidak menyumbang kepada Zionis.

“Jadi kita kena buat kerja sikit lah. Bila nak beli tu semak dahulu sebab ada kod pada bungkusan boleh tentukan sama ada ia produk Israel atau tidak,” katanya.

Kosmo! hari ini melaporkan, kurma berasal dari Israel telah dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Ops Pantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, SOP dan terma rujukan kurma dari Israel itu dimasukkan serta-merta dalam Ops Pantau bagi tujuan mengambil tindakan sekiranya ia ada dijual di pasaran Malaysia.

Dalam pada itu Mohd. Naim berkata, tidak menjadi masalah jika ada pengguna atau pembeli yang sudah ‘termakan’ kurma daripada negara Zionis berkenaan.

“Kalau dah termakan, tak ada masalah sebab kurma tu benda halal, cuma dalam konteks kecaknaan tu sebab ada produk lain yang kita boleh beli. Fokus, semak kod terlebih dahulu itu saja,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas berucap di Majlis Pelancaran Iftar Rahmah Madani 2024 iaitu program kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Al-Akram Datuk Keramat, di sini, hari ini.

Menerusi majlis tersebut, cek cura peruntukan bernilai RM9.45 juta diserahkan kepada wakil-wakil dari 70 buah masjid dan surau yang terpilih bagi menjayakan program berkenaan sepanjang Ramadan.

Mohd. Naim berkata, program itu dijangka dapat memanfaatkan 21,000 penerima setiap hari, manakala jumlah keseluruhan yang terlibat sepanjang program berlangsung berjumlah 630,000 orang.

“Petugas masjid dan surau akan memasak set hidangan lengkap merangkumi nasi, satu jenis lauk dan sayur, buah, kurma, serta minuman untuk diedar kepada penerima dalam kalangan asnaf, B40, dan golongan memerlukan di sekitar Kuala Lumpur,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI