fbpx

Pemilik Rumah Agam 99 Pintu diarah baiki kerosakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kren yang terbalik dan menghempap struktur atas Rumah Agam 99 Pintu di Nibong Tebal, baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Pemilik Rumah Agam 99 Pintu di Nibong Tebal, dekat sini telah diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan selepas kejadian sebuah kren tumbang di atas bumbung kediaman itu sehingga menyebabkan kerosakan teruk pada struktur bangunan warisan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, arahan itu dikeluarkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan pemilik perlu menjalankan kerja-kerja pembaikan mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

Ini kerana, katanya, Rumah Agam 99 Pintu itu telah dikenal pasti oleh MBSP sebagai bangunan warisan.

“Sama seperti kamu (pemberita), saya juga membaca tentang kejadian itu daripada siaran media sosial. Walaupun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sana, saya juga tidak diberitahu mengenai penggambaran itu

“Tetapi selepas ia tular, saya mengarahkan MBSP untuk menyiasat perkara itu.

“Anggota MBSP pergi bersama polis ke rumah ini tetapi tidak dapat memasuki premis itu kerana pintunya berkunci dan ia adalah harta persendirian,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.

Sebelum ini, sebuah kren yang dipercayai digunakan untuk tujuan penggambaran terjatuh di atas bumbung Rumah Agam 99 Pintu pada Jumaat lalu dan kejadian itu merosakkan struktur bangunan tersebut.

Difahamkan, banglo itu dibina oleh seorang ahli perniagaan British dikenali sebagai Ramsden di tengah ladang kelapa sawit dengan seni bina Inggeris lengkap 10 bilik, dewan tari, ruang tamu dan telah mendapat jolokan Rumah 99 Pintu kerana susunan lima hingga enam pintu di setiap bilik.

Kisah rumah itu mula mendapat perhatian apabila pada 1948, cucu kepada pemilik banglo itu dikatakan telah dibunuh secara kejam. Rumah Agam 99 Pintu itu kini tidak berpenghuni dan dikelilingi dengan ladang kelapa sawit.

Menurut Jason, susulan daripada kejadian itu, pihak MBSP telah mengeluarkan surat kepada pemilik premis untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan mengikut peraturan dan tatacara bangunan warisan.

“Rumah Agam 99 Pintu itu telah disenaraikan sebagai bangunan warisan di Seberang Prai tetapi masih belum diwartakan,”katanya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI