fbpx

Kurma Israel dimasukkan dalam terma Ops Pantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Kurma berasal dari Israel telah dimasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Ops Pantau oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, SOP dan terma rujukan kurma dari Israel itu dimasukkan serta merta dalam Ops Pantau bagi tujuan mengambil tindakan sekiranya ia ada dijual di pasaran Malaysia.

“Kita akan terus memantau di pasaran untuk memastikan sekiranya terdapat pasaran kurma berkenaan berlegar. Kita berharap kepada kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan awam dalam perkara ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung kurma berasal dari Israel dibawa masuk ke Malaysia yang jelas bertentangan dengan pendirian negara memboikot produk serta sekatan perdagangan dan ekonomi dengan negara haram tersebut.

Sementara itu, Armizan berkata, Ops Pantau yang diadakan sejak 12 Mac lalu telah memeriksa lebih 3,000 premis perniagaan bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan dilakukan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 11 kes termasuk enam kes pencatutan dikenal pasti dan notis telah dikeluarkan kepada peniaga terlibat.

Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai supaya membuat aduan secara spesifik kepada KPDN sekiranya mempunyai maklumat mengenai aktiviti pencatutan.

“Kita harap aduan (oleh pengguna) spesifik supaya kita boleh membuat pemeriksaan di lokasi berbanding hanya ditularkan harga-harga tersebut,” katanya.

Kata beliau, orang ramai juga diseru menggunakan hak mereka sebagai pengguna untuk memilih makanan pada harga yang munasabah untuk dibeli di bazar Ramadan.

“Contoh bazar Ramadan di TTDI (Taman Tun Dr Ismail) ada harga karipap yang tinggi, tetapi akhirnya berbalik kepada pengguna untuk buat pilihan sebab masih ada karipap yang harga jauh lebih rendah di situ,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI