fbpx

Kevin Morais: Pembunuhan luar biasa – Panel hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mendiang Kevin Morais

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menyifatkan pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam tong dram yang disimen, sembilan tahun lalu sebagai kejadian yang `luar biasa daripada yang biasa’ berlaku di negara ini.

Ini kerana keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail berpuas hati, pembunuhan itu dirancang secara rapi manakala mayat yang ditemukan menggambarkan kekejaman yang dilakukan oleh keenam-enam perayu.

Keenam-enam perayu itu ialah ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R .Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S.Ravi Chanran, 53, dan empat penganggur, R.Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M.Vishwanath, 34, dan S. Nimalan, 31.

Mahkamah turut berpendapat, Kunaseegaran yang juga bekas pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) mempunyai niat dan motif membunuh Kevin manakala lima yang lain adalah orang suruhannya.

“Tidak cukup dengan membunuh si mati (mendiang Kevin), keretanya dibakar, semua barang peribadi dibuang, maka kejadian bunuh boleh dikatakan yang luar biasa daripada yang biasa-biasa,” ujar Hakim Hadhariah ketika menyampaikan keputusan itu.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Sementara itu berhubung rayuan yang dikemukakan perayu-perayu, mahkamah berpendapat rayuan mereka tiada merit selain keterangan yang difikirkan semula (afterthought).

“Pembelaan perayu-perayu bahawa mereka tidak mengenali si mati (mendiang Kevin), tiada motif membunuhnya dan mereka orang baik-baik merupakan keterangan yang difikirkan semula,” ujar Hakim Hadhariah.

Mahkamah turut menolak pembelaan perayu-perayu yang menyatakan saksi pendakwaan ke-54, G. Gunasekaran merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai sebaliknya berpuas hati lelaki itu bercakap benar ketika memberi keterangan.

Gunasekaran pada mulanya merupakan tertuduh kedua dalam kes bunuh tersebut namun pada hari ke-36 perbicaraan, dia mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan melupuskan kereta Kevin.

Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati hakim bicara tidak terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang ketika mensabit dan menghukum keenam-enam lelaki itu.

`Hukuman yang sesuai adalah gantung sampai mati, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan,” ujar Hakim Hadhariah.

Mereka merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020 manakala pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya ke Nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya antara pukul 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Kevin dilaporkan hilang pada 4 September 2015, yang mana sebelum itu dilihat meninggalkan kondominiumnya di Menara Duta, dengan menaiki kereta Proton Perdana.

Mayatnya kemudian ditemukan dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya pada 16 September 2015.

Dalam hujahan rayuan, Dinishwaran diwakili peguam, M. Manoharan manakala peguam-peguam lain iaitu Datuk N. Sivananthan hadir bagi pihak Kunaseegaran, Burhanudeen Abdul Wahid (Thinesh Kumar), Afifuddin Ahmad Hafifi (Vishwanath), Amer Hamzah Arshad (Nimalan) dan Kitson Foong (Ravi).

Sementara pihak responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Mohd. Fairuz Johari dan Mohd. Fuad Abdul Aziz. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI