fbpx

Azeem sanggup hilang empat kejohanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (tengah) sanggup terlepas empat kejohanan demi menghormati bulan Ramadan meskipun masih lagi memburu slot ke Olimpik Paris.

BINTANG pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi sanggup terlepas empat kejohanan bagi menghormati bulan Ramadan kerana yakin ia tidak akan menjejaskan peluangnya ke Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai nanti.

Azeem, 20, mendedahkan, buat masa ini perancangannya menyertai satu kejohanan sahaja sepanjang bulan Ramadan iaitu Kejohanan Jemputan Yellow ­Jacket di Georgia Tech, Atlanta pada 15 dan 16 Mac ini.

Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu akan kembali menggegar trek di bumi Amerika Syarikat (AS) selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.

Ia sama ada Kejohanan Jemputan Tom Jones di Gainesville, Florida (12-13 April) atau Kejohanan Tiger Track Classic di Auburn, Alabama pada 20 April.

“Perancangan dengan jurulatih Ken (Harnden) sekarang adalah sertai satu kejohanan pada awal Ramadan kerana kondisi badan saya masih segar.

“Selepas itu saya akan berehat kerana mahu menghormati sepenuhnya bulan Ramadan. Jangan salah faham, saya cuma berehat daripada kejohanan, tetapi tetap berlatih di waktu pagi.

“Saya sudah biasa, lagipun ini tahun ketiga saya tidak dapat berpuasa di Malaysia, apatah lagi nak beraya dengan keluarga. Ini pengorbanan demi menggapai impian saya ke Olimpik,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Walaupun terlepas empat saingan, tetapi pemenang pingat gangsa 100 m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh perlumbaan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun nanti.

“Saya akan balik Malaysia untuk sertai kejohanan kebangsaan. Saya perlu menang kerana dapat banyak mata sebagai juara kebangsaan untuk membantu kedudukan ranking dunia.

“Katakan saya masih belum layak ke Olimpik Paris, kejohanan itu akan menjadi peluang ter­akhir saya. Seandainya layak, saya akan pulang ke AS dan seterusnya ke Jerman untuk kem latihan sebelum terus ke Paris nanti,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI