fbpx

Ramadan yang perit buat Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki membeli pelita di Bandar Gaza pada 8 Mac lalu sebagai persediaan menyambut Ramadan. - AFP

BANDAR GAZA – Ketika umat Islam seluruh dunia teruja menyambut kedatangan Ramadan, rakyat Palestin di Gaza meluahkan kekecewaan bahawa bulan suci kali ini mungkin adalah yang paling sukar dan perit pernah dialami.

Laman berita The National melaporkan, sebilangan penduduk Gaza  tidak pasti sama ada mereka akan terus hidup sepanjang bulan Ramadan, manakala sesetengah yang lain sedang memikirkan sama ada mereka mempunyai juadah untuk berbuka.

Bumi Gaza yang dahulunya berwarna-warni dan dipenuhi cahaya lampu ketika bulan Ramadan, kini bagaikan ‘bandar hantu’ dengan lebih separuh daripada kira-kira 400,000 bangunan di wilayah itu musnah akibat dibedil askar Israel.

Dahulunya, pasar di Gaza sibuk ketika orang ramai membeli barangan runcit serta lagu-lagu bagi menyambut Ramadan diputar.

Namun kini, bunyi letupan dan meriam menerjah di udara sekali gus memeritkan lagi kegelisahan penduduk Gaza, yang kebanyakannya kehilangan tempat tinggal.

Sebilangan mereka berpegang kepada harapan bahawa gencatan senjata untuk bulan Ramadan masih boleh dilakukan walaupun rundingan untuk perkara itu telah terhenti.

Bagi Musa Al Shami, 48, dia akan menghabiskan bulan mulia ini bersama dua anak lelakinya di salah sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di kem pelarian Jabalia, utara Semenanjung Gaza.

Dalam masa sama, isteri dan lima anaknya yang lain telah berpindah ke selatan enklaf itu selepas rumah mereka di bandar Sheikh Zayed, utara Gaza, musnah.

“Ramadan semakin menghampiri pada tahun ini dan kami sekeluarga tidak bersama  kerana masing-masing berada di tempat berbeza.

“Kami akan merindui perhimpunan keluarga dan suasana indah yang dilalui pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada The National. 

Tambah Musa, dia sekeluarga menghiasi rumah itu dengan penuh kasih sayang pada tahun-tahun sebelum ini dan membeli pelita khas untuk anak perempuan dan lelakinya.

“Setiap kali saya teringat memori keluarga kami pada Ramadan dan bagaimana mereka tiada pada tahun ini, ia membuatkan saya berasa sebak.

“Saya berharap agar apa yang kami lalui ini hanyalah mimpi dan ia akan berakhir,” jelasnya.

Sementara itu, Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, terdapat kebimbangan mengenai keganasan meningkat di Baitulmuqaddis sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Ketegangan di sekitar kawasan itu kebiasaannya meningkat ketika bulan Ramadan dengan pelbagai provokasi dilakukan peneroka haram Yahudi serta pegawai Rejim Zionis.

Ini kerana tempat ketiga paling suci umat Islam itu turut didakwa sebagai tempat paling suci bagi orang Yahudi, yang dikenali sebagai Temple Mount.

Hamas pada minggu lalu turut mengulangi gesaan agar rakyat Palestin meningkatkan lawatan ke Masjid al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan.

Polis Israel dalam masa sama sentiasa berkeliaran di sekitar kompleks Masjid al-Aqsa dan menempatkan pegawai-pegawai di setiap pintu masuk bagi mengawal akses penduduk.

Menurut seorang penduduk, Abu Nader, Ramadan kali ini akan menjadi sukar buat semua rakyat Palestin. 

“Bagaimana kami akan berbuka puasa dan makan setiap hari apabila kami memikirkan saudara senegara di Gaza?” ujarnya. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI