PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan pihaknya membuang masa sekurang-kurangnya lima bulan untuk menyiasat 1,108 laporan palsu yang dibuat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sepanjang tahun lalu.
Perkiraan itu dibuat berdasarkan polis memerlukan tiga jam sebelum mengetahui satu-satu kes itu benar-benar terjadi atau sengaja direka oleh individu tersebut untuk kepentingan peribadi.
Difahamkan, pembuat laporan palsu bukan sahaja akan didakwa dan dikenakan tindakan, malah dia akan mempunyai rekod jenayah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain masa, polis juga kerugian dari segi kos perbelanjaan dan tenaga.
Katanya, dianggarkan sebanyak lapan anggota diperlukan untuk satu kes terdiri daripada forensik, detektif, jurugambar, pegawai penyiasat dan pegawai kanan.
Katanya, sepanjang 2023, sebanyak 1,108 kes laporan palsu direkodkan.
“Jumlah tertinggi kes direkodkan adalah di Kuala Lumpur (317) seterusnya Johor (231), Selangor (218), Pulau Pinang (61), Perak (58), Sarawak (48), Negeri Sembilan (47), Kedah (31) dan Melaka (30).
“Selain itu, Pahang dan Sabah masing-masing 21 kes diikuti Kelantan (14), Terengganu (10) dan Perlis (1),” katanya kepada Kosmo!.
Razarudin menegaskan, setiap laporan yang menjurus kepada kes diterima akan melibatkan siasatan di tempat kejadian sekali gus akan mengganggu kes-kes lain yang sedang disiasat.
Tegas beliau, bebanan tugas pegawai penyiasat akan terganggu khususnya fokus siasatan kerana memerlukan purata dua hingga tiga jam siasatan di lokasi kejadian.
“Siasatan yang dijalankan memerlukan gabungan aset-aset polis termasuk keanggotaan yang menjalankan siasatan. Apabila sesuatu kes yang dilaporkan itu bersifat palsu, secara tidak langsung telah membazirkan tumpuan siasatan serta penggunaan aset seperti kos bahan bakar dan aset digerakkan.
“Perkara ini sukar dilihat oleh masyarakat, namun ia ditanggung sepenuhnya oleh PDRM. Hal ini juga akan memberikan impak kepada kes-kes siasatan yang sedang dikendalikan oleh pegawai penyiasat apabila perlu menyiasat laporan palsu,” katanya.
Ujar Razarudin, pergerakan aset terutamanya pasukan forensik memerlukan kelengkapan mencukupi untuk dibawa ke lokasi kejadian.
Untuk rekod, Seksyen 182 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu memberi maklumat palsu akan membawa hukuman maksimum enam bulan penjara, atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, dari sudut kos penggunaan bahan bakar kenderaan ke lokasi turut diambil kira apabila perlu menggerakkan pegawai penyiasat, kereta peronda polis, unit rondaan bermotosikal dan kenderaan unit forensik.
“Pembaziran tenaga (anggota) secara tidak langsung akan berlaku apabila seorang pegawai penyiasat, dua jurugambar, detektif, serta pasukan forensik yang bergerak secara berkumpulan (seorang pegawai dan lima anggota).
Pada 16 Januari lalu, media melaporkan seorang pelajar kolej sanggup membuat laporan palsu ekoran bimbang kandungan usia lima minggu hasil hubungan terlarang diketahui keluarga dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa rogol. -KOSMO! ONLINE














