fbpx

Malaysia akan terlibat bangunkan semula Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK Palestin memeriksa serpihan selepas serangan udara Israel di Rafah, Semenanjung Gaza. - GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Malaysia menyatakan pendirian untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin, bahkan akan terlibat sama bagi membangunkan semula bumi Gaza.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, sehubungan itu, bantuan daripada kerajaan Malaysia termasuk Ops Ihsan akan terus disalurkan ke Palestin bagi membantu rakyat mereka yang sehingga kini masih berdepan kekejaman Israel.

“Ops Ihsan pada ketika ini kita sedang usaha hantar 100,000 pek makanan dan insya-Allah akan ditambah lagi. Kita juga sedang dalam perbincangan bagaimana hantar secara dekat lagi menggunakan kapal laut.

“Semalam saya bertemu Duta Mesir dan perkara ini telah dibincangkan. Insya-Allah Malaysia terus konsisten menghantar bantuan ke Gaza dan semoga ia dapat masuk secepat mungkin,” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, sewaktu beliau bersama delegasi dari Malaysia ke Mesir, pihaknya turut melawat Hospital Palestin dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin serta telah menyatakan kesudian Malaysia untuk menaik taraf fasiliti kesihatan tersebut.

“Kita akan bekalkan beberapa ambulans terus kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin. Kita juga akan bangunkan semula kota Gaza dan akan libatkan diri untuk fasa akan datang,” katanya.

Ujarnya, Malaysia juga sentiasa komited untuk menyalurkan sumbangan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) ditubuhkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Malaysia antara penyumbang kepada UNRWA dan kita sentiasa komited menyalurkan sumbangan. Terkini ialah sumbangan sebanyak 2.1 juta dolar Amerika Syarikat. Tahun ini kita akan pertimbangkan sumbangan kepada UNRWA untuk bantu rakyat Palestin,” katanya.

Mengenai soal boikot pula, Mohamad berkata, ia adalah pilihan individu dan kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung pemboikotan sebarang produk dan barangan.

“Itu hak individu interpretasi niat dan pandangan mereka. Esok kita akan berpuasa, sama-sama doakan rakyat Palestin terus diberi perlindungan.

“Dalam kita berbahas ini, sebenarnya berlangsung diskusi melibatkan beberapa buah negara seperti Qatar, Amerika Syarikat, Mesir bahkan Israel untuk gencatan senjata di bulan Ramadan.

“Mudah-mudahan ia membuahkan hasil dan rakyat Gaza dapat menjalani ibadah puasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI