fbpx

Sanusi tak jaga ‘decorum’ mesyuarat – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin pada sidang akhbar selepas Program Ihya Ramadan PDRM Kedah bersama masyarakat di IPD Kulim, hari ini.

KULIM – Sikap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa tidak menjaga tertib dan etika mesyuarat menjadi penyebab mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.

Pengerusi bersama jawatankuasa itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Muhammad Sanusi didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat dihadirinya sebagai modal berceramah di pentas politik.

Katanya, Menteri Besar Kedah itu juga tidak tahu membezakan perkara berkaitan urusan negara dengan politik sehingga kadangkala memperlekeh pengerusi mesyuarat yang dihadirinya.

“Dia tak perlu mengadu kenapa mesyuarat pembangunan negeri tak dibuat. Menteri Besar ini banyak hadir mesyuarat-mesyuarat Persekutuan, mesyuarat kewangan dan mesyuarat keselamatan.

“Tetapi saya dapati apabila dia balik daripada mesyuarat itu, dia gunakan maklumat dalam mesyuarat untuk ceramah kepada Pas cawangan sedangkan maklumat yang disampaikan tidak memberi gambaran sebenar.

“Mesyuarat-mesyuarat rasmi kerajaan ada yang bertaraf rahsia besar, bertaraf sulit dan kalau dia hadir mesyuarat Persekutuan, kemudian balik hanya untuk memperlekeh apa yang berlaku dalam mesyuarat maka dia seorang yang tak jaga ‘decorum’,” katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang akhbar Program Ihya Ramadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah bersama masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, hari ini.

Pada sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Khamis lalu, Muhammad Sanusi kecewa dengan tindakan Saifuddin yang didakwa gagal mengadakan mesyuarat berkenaan sejak lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Saifuddin berkata, tiada sebarang gangguan terhadap tugas dan peranan beliau sebagai pengerusi jawatankuasa itu bagi memantau pelaksanaan projek-projek Persekutuan di Kedah walaupun mesyuarat itu sudah lama tidak diadakan.

Katanya, projek-projek Persekutuan di negeri terbahagi kepada dua iaitu projek bukan fizikal yang boleh dilaksanakan seperti biasa dan projek fizikal yang kebiasaannya melibatkan kerja-kerja sambungan daripada kelulusan terdahulu.

“Tadi saya hadir program di bawah Pejabat Kemajuan Negeri, tiga hari lepas pun saya hadir yang sama. Jadual saya penuh untuk bulan-bulan ke depan kerana kita melihat projek-projek sambungan yang tak boleh berlaku kelewatan seperti projek loji rawatan air.

“Kecuali projek baharu yang perlukan urusan tanah, tapi kalau projek Persekutuan tak akan dia tak boleh bagi kerjasama dan kalau dia boleh berubah (jaga etika), saya tak ada masalah untuk menyegerakan mesyuarat-mesyuarat yang memerlukan kehadirannya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI