fbpx
Sering diangkat sebagai jurucakap bagi kumpulan waris-waris kru dan penumpang pesawat MH370, Voice 370, Grace Nathan telah melalui kehidupan tanpa ibu tercinta selama 10 tahun sejak ibunya hilang bersama pesawat malang itu pada tahun 2014, namun impian ibunya untuk melihatnya menjadi peguam tetap ditunaikan.

‘Saya jadi peguam kerana permintaan ibu’- Grace, waris MH370

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HARI ini, genap sedekad misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines, MH370 yang hilang tanpa jejak pada 8 Mac 2014.

Bertahun-tahun misi pencarian dijalankan, banyak teori muncul daripada pelbagai pihak mengenai kehilangan pesawat malang tersebut.

Ada yang mendakwa kapal terbang tersebut terhempas di Lautan Hindi sehinggalah disembunyikan di suatu tempat yang tidak diketahui.

Bagi ahli keluarga 239 penumpang pesawat jenis Boeing 777-200ER, pasti mereka menaruh harapan agar semua penumpang yang berada di dalam pesawat tersebut kembali pulang ke pangkuan mereka dengan selamat.

Berkesempatan menemui salah seorang ahli keluarga penumpang yang juga jurucakap kumpulan waris, Voice 370, Grace Subathirai Nathan atau lebih mesra disapa Grace baru-baru ini, dia turut mengharapkan perkara sama.

Ibunya, Anne Daisy merupakan salah seorang penumpang MH370 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.

“Sedekad bukanlah satu jangka masa yang pendek. Sehingga ke hari ini (8 Mac), saya memang tidak dapat percaya 10 tahun telah berlalu.

“Paling menyedihkan, MH370 ini masih lagi diklasifikasikan sebagai satu misteri,” katanya membuka bicara bersama Aura.

GRACE bersama bapanya saban tahun tidak jemu memperjuangkan nasib penumpang MH370 sejak kehilangan pesawat itu pada tahun 2014.

Menurut wanita berusia 37 tahun itu, sehingga ke detik ini juga, dia langsung tidak dapat menerima bahawa ibunya telah hilang begitu sahaja tanpa sebarang bukti.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa MH370 ini bukanlah sekadar satu sejarah, tetapi MH370 ini adalah penting bagi masa depan sektor penerbangan terutamanya dari segi keselamatan.

“Selagi mana MH370 ini tidak dijumpai, selagi itulah kita tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku kepada pesawat dan seluruh isi penumpang di dalamnya,” katanya.

Berkongsi lanjut, masih jelas dalam ingatannya tatkala mendapat perkhabaran duka mengenai kehilangan pesawat tersebut 10 tahun lalu.

Beritahunya, pada tahun 2014 apabila pesawat MH370 disahkan hilang, dia sedang dalam proses menduduki peperiksaan akhir untuk Bar Professional Training Course (BPTC) di Bristol, United Kingdom.

“Bayangkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Seluruh tubuh saya menggigil apabila dapat tahu ibu ada dalam pesawat itu juga.

“Justeru, saban tahun sejak MH370 telah hilang, saya bersama beberapa waris yang lain (Voice 370) tidak terlepas menganjurkan satu acara ringkas bagi mengingati 239 penumpang dan kru kapal.

“Dalam kata lain, acara itu juga dianjurkan bagi memajukan dan memantapkan lagi kesedaran mengenai keselamatan penerbangan (aviation safety).

“Terbaharu, Ahad lalu, kami sekali lagi menganjurkan majlis memperingati MH370 kali ke-10 bagi mengenang satu dekad sejak hilangnya pesawat tersebut,” kata Grace.

Akuinya, sejak perkara tersebut berlaku (kehilangan misteri), dia mendapat banyak soalan daripada media dan orang ramai mengenainya.

“Jujur amat sukar untuk gambarkan perasaan saya. Kesedihan adalah kompleks dan tidak ada buku teks atau formula tentang cara menangani kesedihan itu.

“Kebelakangan ini apabila saya ditanya, saya beritahu orang bahawa saya telah go on, namun tidak dapat move on.

“Saya telah meneruskan kehidupan saya sebaik mana yang saya boleh, namun dari segi emosi, jujur saya berasa bagaikan tidak percaya sudah sedekad berlalu.

“Sejak 2014, persoalan mengenai di manakah MH370? Mengapa MH370 telah berpusing balik? Apakah yang sebenarnya telah berlaku dalam pesawat tersebut masih berlegar-legar dalam benak fikiran.

“Malangnya, walaupun 10 tahun telah berlalu, kesemua soalan itu masih belum terjawab dan semuanya kekal misteri,” ungkapnya.

Grace turut mengikat gambar ibunya pada jambangan perkahwinannya (bridal bouquet) seolah-olah wanita itu ada di sisi semasa hari bahagianya.

Pejam celik, Grace mengakui dia perlu menjalani hidup seperti biasa termasuk melewati fasa-fasa bahagia seperti perkahwinan dan mempunyai keluarga sendiri.

Katanya, walaupun bersedih, dia selamat disatukan bersama pasangan pada Disember 2020 tanpa ibunya di sisi.

“Saya amat merindui ibu saya sepanjang upacara perkahwinan berlangsung.

“Bagi menghilangkan sedikit kesedihan, saya ambil keputusan untuk mengikat gambar ibu saya pada bridal bouquet perkahwinan menandakan dia turut ‘bersama’ anak dan menantunya.

“Kini saya juga mempunyai dua anak kecil yang berumur setahun setengah dan dan enam bulan. Kedua-dua kehamilan saya kehamilan risiko tinggi dan saya banyak mengalami komplikasi semasa mengandung.

“Saya sangat merindui ibu saya pada masa tersebut dan setelah melahirkan anak-anak, kasih sayang dan kerinduaan saya terhadap ibu semakin mendalam.

“Ketika itu juga saya sedar bagaimana menjadi dan bergelar seorang ibu. Manakan tidak, 25 tahun ibu menjaga dan membesarkan saya serta seorang lagi adik perempuan,” katanya lagi.

Daripada seorang gadis muda semasa ibunya hilang, Grace kini sudah berumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata.

Berkat doa dan permintaan ibunya melihat anak perempuan sulungnya itu bergelar seorang peguam, cita-citanya itu digapai Grace dengan hati terbuka.

Katanya, ketika zaman kanak-kanak, dia bercita-cita menjadi doktor haiwan tetapi ibunya percaya bahawa kerjaya dalam undang-undang akan menjadi kerjaya yang lebih baik untuknya.

“Jangkaan dia (ibu) memang betul. Setelah hampir 10 tahun bekerja sebagai seorang peguam, saya masih tidak ada apa-apa hasrat untuk menceburi pekerjaan lain.

“Ibu tahu apa yang terbaik buat anaknya. Saya bangga walaupun dia tidak dapat melihat saya berkhidmat sebagai peguam bela kes jenayah, namun dia pasti tersenyum jauh di sana,” katanya.

Bagi Grace, apa yang diharapkan cuma satu dan tidak lain tidak bukan agar MH370 ditemui dalam masa terdekat dan kesemua 239 penumpang selamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN