KLUANG – Peniaga kuih-muih dan makanan berasaskan beras pulut tertekan berikutan kenaikkan harga hampir RM10 untuk sekampit 10 kilogram (kg) yang dijual di pasaran ketika ini.
Keadaan itu memaksa peniaga mengambil pendekatan untuk menaikkan harga jualan makanan berasaskan bahan tersebut bagi menampung kos.
Tinjauan Kosmo! mendapati, harga beras pulut di pasaran ketika ini antara RM50 hingga RM65 sekampit (10kg) berbanding RM40 hingga RM55 tahun lalu.
Penjual lemang, Azman Aziz, 57, berkata, kenaikan yang terlalu tinggi itu menyebabkan mereka terpaksa menjual juadah hari raya itu pada harga sedikit tinggi berbanding tahun lalu.
“Kalau kami menjual pada harga seperti tahun-tahun sebelum ini dikhuatiri tidak mampu menampung kos pembuatan berikutan harga santan dijangka turut meningkat.
“Kami berharap kerajaan dapat memberi perhatian terhadap kenaikan harga beras pulut ini kerana melonjak terlalu tinggi sedangkan bukan bahan asas atau makanan ruji rakyat.
“Keperluan tinggi terhadap beras pulut ini hanya berlaku dua kali dalam setahun dan tidak mungkin boleh menyebabkan bekalan berkurangan sehingga harga dinaikkan seperti ini,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, seorang penjual kuih yang hanya mahu dikenali sebagai Hana, 35, berkata, semua jenis kuih yang berasaskan beras pulut sudah dinaikkan harga antara 50 sen hingga 70 sen sepotong.
Ujarnya, antara kuih-muih yang dibuat berasaskan beras pulut adalah pulut panggang dan seri muka turut dijangka dinaikkan harga.
“Ia perlu kerana kenaikan mendadak harga beras pulut pada masa kini dan diharapkan pelanggan dapat memahami situasi dihadapi peniaga,” katanya. -KOSMO! ONLINE














