fbpx

Geng Tatan aktif ragut sejak Disember ‘dilumpuhkan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Sukarno (tengah) dalam sidang akhbar di IPD Sentul, di sini, hari ini. -Foto oleh MOHD. FARIZWAN HASBULLAH/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kegiatan ragut yang aktif dilakukan oleh Geng Tatan di sekitar kawasan Sentul, di sini sejak Disember lepas, dilumpuhkan pihak polis apabila dalangnya ditahan Selasa lalu.

Suspek lelaki warga tempatan yang digelar sebagai Tatan berusia 34 tahun ditahan kira-kira pukul 5.30 petang dalam satu Op Sentap yang bertujuan untuk membanteras kegiatan ragut.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pada Isnin lalu, pihaknya menerima aduan kejadian ragut daripada seorang wanita warga tempatan berusia 39 tahun di hadapan lif Flat Seri Perak Bandar Sentul, di sini.

Ujarnya, hasil risikan mendapati kegiatan ragut yang aktif berlaku di daerah Sentul adalah didalangi dua lelaki warga tempatan yang diketuai oleh Tatan.

“Sindiket ini melakukan kegiatan ragut di kawasan perumahan dan mensasarkan pejalan kaki dan penunggang motosikal.

“Kegiatan ini dijalankan secara berkumpulan dimana hasil ragut tersebut akan dijual di kedai mengikut hasil barangan yang diragut untuk mendapatkan wang dan dibahagikan sesama mereka.

“Pihak polis sedang dalam usaha untuk mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan kes,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (IPD), hari ini.

Ahmad Sukarno berkata, antara barang yang dirampas adalah sebuah motosikal jenis Honda RS 150, helmet, segugus kunci dan sehelai jaket yang digunakan semasa kejadian.

Ujar beliau, hasil semakan mendapati suspek yang ditahan mempunyai lima rekod kesalahan jenayah.

“Suspek direman bermula semalam sehingga Sabtu ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, maka pihak polis berjaya menyelesaikan sebanyak enam kes kecurian ragut yang dilaporkan di sekitar kawasan Sentul,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI