Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan seharusnya menjadi prioriti dalam urusan seharian mereka yang mengakui diri adalah warganegara Malaysia.
Isu tidak fasih bertutur bahasa Melayu sepatutnya tidak timbul kerana semua individu yang menetap di negara ini mempelajarinya dari bangku sekolah.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, ketegasan pihak berkuasa dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi masih tampak longgar.
Beliau berkata, sebelum ini tular di media sosial penamaan sebuah perpustakaan di Bangi, Selangor yang menggunakan bahasa Inggeris iaitu ‘library’ dengan saiz yang cukup besar.
“Undang-undang Kecil Pengiklanan menstabilkan pengutamaan bahasa Melayu pada papan nama, papan tanda, iklan dan bentuk lain bahasa di tempat awam.
“Jika ada keperluan menggunakan bahasa lain, perkataan itu mestilah lebih kecil saiz dan tidak menonjol daripada bahasa kebangsaan dalam hal kedudukan dan warnanya,” katanya.
Beliau menegaskan, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu peka dalam penguatkuasaan penggunaan bahasa di tempat awam.
Katanya, sebelum meluluskan permit peragaan di tempat awam, badan atau syarikat berkaitan diminta mendapatkan pengesahan bahasa daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Bidang kuasa DBP setakat Akta DBP 1959 adalah menegur, menasihati dan membimbing, namun PBT ialah pihak yang mesti menguatkuasakan penggunaan bahasa di tempat awam,” katanya.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah diterajui sektor awam dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 harus diberi perhatian serius.
“Malang sekali, ia tidak pun diendahkan sangat oleh agensi kerajaan.
“Ini dapat dilihat pada penggunaan bahasa Melayu untuk urusan rasmi dalam negara oleh agensi kerajaan sendiri, antaranya dalam penganjuran majlis rasmi dalam negara yang rata-ratanya melibatkan warganegara Malaysia,” katanya.
Tambahnya, antaranya ialah penggunaan ungkapan bahasa Inggeris flag off atau kick off untuk makna permulaan rasmi sesuatu acara atau projek. Begitu juga nama Fit Malaysia untuk acara tahunan sempena Hari Sukan Negara.
“Sehubungan penggunaan bahasa Inggeris ini, persoalannya ialah di manakah tanggungjawab ketua jabatan agensi kerajaan itu, untuk menggunakan bahasa Melayu seperti yang dikehendaki dalam Pekeliling itu.
“Selain ketua jabatan, anggota pentadbiran, yakni menteri ikut bertanggungjawab untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.
Tanggungjawab ini sangat penting bukan sahaja kerana amanah pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.
“Ia juga untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul serta menyeluruh dalam perkhidmatan awam,” katanya.
















