fbpx

Cikgu Ben Zaid terima 3 buah motosikal daripada Aveta Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cikgu Ben Zaid dan keluarga bergambar bersama motosikal Aveta Ranger Max Explorer sumbangan Aveta Malaysia.

PETALING JAYA – Guru yang berkhidmat di Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang, Kelantan, Cikgu Ben Zaid telah menerima tiga buah motosikal Aveta Ranger Max Explorer daripada pengedar motosikal tempatan, Aveta Malaysia.

Cikgu Ben Zaid yang turut dikenali sebagai ‘Cikgu Offroad’ pernah tular sebelum ini setelah video beliau mengharungi perjalanan sejauh 60 kilometer untuk mengajar anak-anak Orang Asli di sekolah pedalaman mendapat perhatian warga internet.

Menurut Ben Zaid, perjalanan ke SK Balar memakan masa selama kira-kira tiga jam sekiranya cuaca cerah dan jalan dalam keadaan baik.

Bagaimanapun, jika cuaca buruk, laluan akan menjadi lebih berbahaya dan perjalanan boleh mengambil masa lebih 10 jam.

Ben Zaid berkata, cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang perjalanan tidak pernah menggoyahkan semangat beliau sebagai seorang guru.

“Mendidik anak-anak murid saya di Pos Balar ialah tanggungjawab istimewa yang sanggup saya terima. Tidak dinafikan ada pelbagai cabaran yang kami hadapi sepanjang perjalanan.

“Bagaimanapun, saya sedar betapa pentingnya pelajaran untuk semua orang, tidak kiralah dimana jua mereka berada.

Inilah yang mendorong dan membakar semangat saya untuk menyahut semua cabaran yang mendatang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis “Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta” yang diadakan di Royale Chulan, Damansara, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Aveta Malaysia, Steven Lim berkata sumbangan tiga buah motosikal oleh Aveta diharapkan dapat meringankan beban Cikgu Ben Zaid serta rakan-rakannya dan membolehkan beliau memberi lebih tumpuan kepada misi pendidikan.

“Bak kata pepatah, guru bagaikan pelita. Kami sangat tersentuh hati dengan usaha Cikgu Ben Zaid. Itulah yang mendorong kami untuk menghulurkan bantuan.

“Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak memberi kesan dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan anak-anak Orang Asli di Pos Balar,” katanya.

Menurut Steven, motosikal yang diberikan haruslah tahan lasak dan berkeupayaan mengharungi bentuk muka bumi yang mencabar.

“Oleh itu, tiga unit motosikal ini kami lengkapkan khusus untuk menempuh muka bumi yang lasak bagi meringankan beban Cikgu Ben Zaid dan pasukannya.

“Malah, kami turut memberikan waranti dua tahun supaya guru-guru ini tidak perlu bimbang dan dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada tanggungjawab mendidik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI