fbpx

Perkasa ilmu fesyen mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua peserta dan penceramah seminar Empowering Sustainable Fashion Education yang diadakan di Institut Kecemerlangan Perniagaan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam bergambar kenangan usai program.

FESYEN mampan merupakan satu istilah yang digunakan untuk merujuk kepada produk, proses dan aktiviti yang dibuat oleh pelbagai pihak bertujuan menghasilkan sektor fesyen yang melindungi alam sekitar.

Industri fesyen merupakan antara industri yang menghasilkan sisa buangan terbesar dunia dan lebihan kain perca serta sisa tekstil memakan masa sehingga 200 tahun untuk diuraikan di tapak-tapak pelupusan sampah, sekali gus menyebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk.

Justeru, pelbagai usaha dibuat oleh mereka yang terlibat dalam dunia fesyen ke arah mencapai industri yang lestari dan mengurangkan pembaziran.

Pengasas Sekolah Jahit Antarabangsa (The International Sewing School), Bangsar, Kalpana Singh baru-baru ini menganjurkan seminar bertajuk Empowering Sustainable Fashion Education (Memperkasa Pendidikan Fesyen Mampan) yang berlangsung di Institut Kecemerlangan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor bagi memperkasa pengetahuan berkenaan fesyen mampan dalam kalangan pemain industri fesyen.

Menurut Kalpana, Sekolah Jahit Antarabangsa percaya kelestarian fesyen itu bukan sekadar satu trend, tetapi merupakan satu bahagian penting dalam pendidikan dan kurikulumnya.

“Apabila pereka fesyen didedahkan dengan amalan kemampanan dalam penghasilan produk fesyen, maka industri fesyen akan menjadi sebuah industri yang berasaskan tanggungjawab.

“Kami teruja apabila dapat bekerjasama dengan Institut Kecemerlangan Perniagaan UiTM yang merupakan hab bagi teknologi fesyen lestari.

“Menerusi kerjasama ini, kami berharap untuk memacu perubahan positif dalam landskap industri fesyen negara,” kongsinya.

Pakaian yang dihasilkan dengan teknologi yang betul tahan lebih lama.

Tambah Kalpana, biarpun kemahiran jahitan adalah penting, namun institusi yang diasaskannya itu menawarkan lebih banyak aspek dalam fesyen yang mana para pelajar diberi peluang untuk berfikir secara kritis, berinovasi dan mencabar norma sedia ada.

Jelas Kalpana, fesyen mampan bukan hanya membabitkan penghasilan pakaian yang mampu bertahan lama dan mengurangkan lambakan sisa buangan, tetapi juga membabitkan mata pencarian yang lestari.

“Saya mula mengajar jahitan di Sekolah Jahit Antarabangsa sejak 2011 dan sebagai seorang wanita, saya sentiasa memikirkan bagaimana saya mahu menjaga keluarga saya dan menjana pendapatan sampingan.

“Justeru, selain pendidikan formal, saya melihat kemahiran jahitan ini sebagai sesuatu yang cukup penting kerana ia mampu menjadi penyelamat kepada wanita khususnya.

“Hal ini kerana ramai dalam kalangan pelajar saya yang terpaksa meninggalkan kerjaya mereka kerana perlu menjadi suri rumah dan menjaga keluarga, namun amat meminati dunia fesyen dan berhasrat untuk menjana pendapatan dengan memulakan perniagaan berasaskan fesyen,” terangnya.

Seminar tersebut juga membariskan mereka yang berpengalaman dalam industri fesyen lestari seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Think Plus, Dr. Norsaidatul Akmar Mazelan yang merupakan penerima anugerah Pengurus Projek Hijau Bertauliah bagi beberapa projek yang dikendalikannya, Melissa Tan pelakon serta pengacara televisyen (TV) yang berkempen untuk industri fesyen lebih bersih dan saksama, pakar teknologi pakaian bertauliah iaitu Datin Dr. Norsaadah Zakaria, Juita Jalil personaliti TV yang menyokong pemuliharaan pakaian tradisi dan warisan Malaysia; Calvinn Tay usahawan batik Malaysia dan Jacqueline Fong, pengasas Tanoti Crafts iaitu perusahaan sosial yang memelihara warisan dan memperkasa pengusaha produk seni di kawasan pedalaman.

Selaku pakar teknologi dalam industri tekstil negara, Norsaadah berkata, teknologi fesyen merangkumi pembuatan dan persediaan untuk menghasilkan sesuatu produk fesyen.

“Teknologi yang dimaksudkan dalam industri fesyen adalah melibatkan pembuatan atau teknik dalam menghasilkan sesuatu busana atau produk fesyen.

“Teknologi fesyen juga merupakan permulaan kepada fesyen lestari memandangkan dalam seminar ini, saya banyak menekankan teknik jahitan yang mampu menjadikan pakaian lebih tahan lama, sekali gus mengurangkan sisa buangan fesyen,” katanya.

Dr. Norsaadah menambah, baju yang dihasilkan dengan teknologi fesyen yang betul akan mampu bertahan lama dan boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

“Ini seterusnya boleh membantu mengurangkan lambakan sisa buangan,” katanya yang turut menyokong sistem sewaan baju yang popular kini sebagai salah satu langkah ke arah mewujudkan fesyen mampan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI