ISU babak soft porn bukan lagi perkara asing dalam industri perfileman tanah air. Saban tahun, pasti ada sahaja naskhah yang terpalit dengan kontroversi sebegitu dan semestinya berkaitan babak lucah.
Sepertinya isu sebegini tiada berkesudahan dan penerbit serta pengarah masih tidak serik dengan segala kritikan mahupun teguran ramai.
Barangkali, bagi sesetengah pihak, babak mahupun kandungan sebegitu masih ‘halal’ selagi dilakukan secara berlapik, namun hakikatnya tetap
meninggalkan impak negatif kepada para penonton.
Mesejnya mahu memberi pengajaran dan moral tetapi adakalanya cara terjemahan sesuatu babak tidak sesuai dengan tontonan masyarakat.
Bagaimanapun, bagi segelintir penggiat seni, babak sebegitu tidak mendatangkan sebarang isu selagi penonton bijak mentafsir.
Kata mereka, soft porn hanyalah permainan minda dan jika salah tafsir akan menjadi negatif tetapi sekiranya bijak menilai, lain pula kesannya.
Melihat reaksi ramai apabila filem La Luna arahan M. Raihan Halim mula ditayangkan dalam platform penstriman Netflix baru-baru ini, jelas memberi gambaran bahawa penonton Malaysia masih belum terbuka sepenuhnya sekiranya naskhah tempatan memainkan isu mahupun babak ‘double meaning’ dan berbaur lucah.
Berkongsi pandangan, Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki berkata, pengkarya tanah air perlu menjadikan industri perfileman di Iran sebagai contoh terbaik kerana mereka masih mengekalkan nilai yang sepatutnya.
“Kalau orang kata main bola jangan pakai tangan, jadi guna kaki sahaja.
“Sama juga bikin filem, kalau tak boleh buat sesetengah perkara, jangan buat, guna kreativiti untuk beritahu dan menceritakan tanpa melanggar undang-undang.
“Sepatutnya kita ikut cara dan budaya kita. Kalau mereka di Malaysia, buat cara ikut seperti di sini.
“Kalau satu hari ada rezeki seperti James Wan bikin filem di Amerika Syarikat, ikutlah apa yang mereka tetapkan,” katanya.
Tambahnya, pengarah sepatutnya mengelak menggunakan unsur soft porn atau elemen negatif lain, kerana perkara sebegitu boleh mengundang pandangan negatif kepada penggiat seni.
“Bagi saya kenapa nak cari masalah? Kalau boleh buat kerja bagus tanpa buat benda yang menjengkelkan masyarakat, buat sahaja yang orang okey.
“Kita tak mahu orang burukkan kita lagi sebab orang sudah cop penggiat seni ini melalaikan. Kita boleh buat cerita tanpa tunjuk hal tak sepatutnya. Memang nak pamer realiti kehidupan tetapi berpada-padalah,” katanya.
Jika berkeras mahu mengetengahkan elemen soft porn, kata Afdlin sebolehnya menggunakan cara berlapik antaranya imej kiasan seperti filem era 1980-an
“Jangan normalisasikan perkara yang tak sepatutnya dan bercanggah budaya. Bukan hendak menolak realiti, tetapi guna cara lain dengan.
“Contohnya kalau babak ‘soft porn’, jangan paparkannya secara terang-terangan tetapi lakukan secara berlapik.
“Zaman dulu, mereka guna imej pembinaan cerucuk, kumbang hisap bunga. Berlapik dan pandai-pandailah,” jelasnya.














