fbpx

Gajah liar musnahkan gerai kuih tepi jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar sebuah gerai makanan musnah dirempuh kawanan gajah liar di persimpangan masuk Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di Jerantut.

JERANTUT – Seorang peniaga pisang goreng dan keropok, Norhayati Muhammad, 48, terkejut selepas mendapati gerainya dimusnahkan gajah liar di persimpangan masuk ke Kampung Kuala Sat di sini hari ini.

Norhayati berkata, ketika tiba untuk memulakan perniagaan pagi ini, dia terkejut kerana keseluruhan gerai kayu miliknya musnah dan peralatan memasak turut berselerak di atas tanah.

“Setiba saya pagi ini untuk berniaga mendapati gerai kayu musnah dan kelihatan cuma tinggal bumbung sahaja apabila dilanggar kawanan gajah liar berkenaan.

“Selain merosakkan gerai ini, gajah liar ini turut meninggalkan ketulan najis di persekitaran kawasan dan juga di tepi jalan raya masuk ke kampung ini,” katanya di Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling dekat sini hari ini.

Menurut Norhayati, kejadian itu dipercayai berlaku antara pukul 1 pagi hingga 3 pagi hari ini kerana waktu berkenaan kebiasaannya haiwan liar itu keluar mencari makanan berdekatan jalan raya.

Katanya, dia reda dengan ujian itu dan bersabar serta bertekad membina semula gerai di situ untuk menjual pisang goreng, keropok dan minuman.

Sementara itu, seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Diman berkata, aktiviti gajah liar keluar mencari makanan pada waktu malam merupakan lumrah bagi penduduk di situ.

“Kawanan gajah liar dipercayai lebih 10 ekor yang pernah saya temui sememangnya menjadikan tempat tinggal di pinggir hutan berdekatan Kampung Pagi – Bukit Awan – Kampung Kuala Sat kerana di situ merupakan kawasan rayau haiwan liar memperoleh makanan setiap masa.

“Gangguan melibatkan kerosakan gerai makanan awal pagi hari ini dan juga kerap berlaku pencerobohan kawasan tanaman sebelum ini kerana habitat asal haiwan liar di hutan Ulu Tembeling sudah diteroka sejak 20 tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI