fbpx

Dua rakan mengaku tidak bersalah menyamar pegawai Jabatan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

IPOH – Dua lelaki yang diberkas polis kerana menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen sebelum melakukan jenayah samun bulan lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.

Tertuduh, M. A. Sarvinraj, 26, dan Harjit Singh Sulakhan Singh, 26, yang didakwa atas dua pertuduhan menyamar sebagai penjawat awam bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Mengikut kertas pertuduhan, dua rakan itu didakwa memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen kepada warga asing, Cahyani Ulfah di sebuah rumah di Taman Klebang Jaya dalam daerah Kinta pada pukul 3 petang, 25 Februari 2024.

Kedua-dua tertuduh yang masih bujang itu juga didakwa secara bersama-sama berpura-pura menyamar sebagai pegawai imigresen di Jalan Kampar, Pekan Bharu, Ipoh pada pukul 10.30 pagi, 26 Februari 2024.

Bagi dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini, manakala Sarvinraj diwakili peguam Amrick Singh Samdu manakala Harjit Singh pula diwakili S. Morgan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,800 bagi pertuduhan pertama dan RM1,400 bagi pertuduhan kedua.

Pada prosiding sama, Sarvinraj turut didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi iaitu sebuah telefon bimbit jenama iPhone XR dan kad bank Hong Leong milik warga asing, Neng Pipit.

Tertuduh yang tidak bekerja itu mengaku tidak bersalah bagi kesalahan yang dilakukan di Taman Klebang Jaya dalam daerah Kinta pada pukul 6.35 pagi, 26 Februari 2024.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun serta denda. Bagi kesalahan itu, Siti Nora membenarkan jaminan sebanyak RM1,800 terhadap tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI