fbpx

Pendapatan pesawah sangat rendah, tidak setimpal – Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESAWAH - GAMBAR HIASAN

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan supaya nasib pesawah diberi perhatian serius berikutan hasil pendapatan yang diperoleh golongan itu sangat rendah.

Baginda bertitah, bagi menyelesaikan isu tersebut, kerajaan negeri harus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menstrukturkan semula ekosistem pengeluaran dan pasaran padi agar memberi pulangan setimpal kepada petani, bukan hanya menguntungkan pemain hiliran semata-mata.

“Nasib pesawah yang merupakan ‘power house’ sebenar sektor pertanian padi perlu diberi perhatian yang serius. Dengan hasil pendapatan yang sangat rendah, keringat mereka diperah dengan balasan tidak setimpal.

“Cabaran yang dihadapi oleh petani dalam mengguna pakai teknologi seperti tahap kemampuan kewangan dan kekurangan
ilmu pengetahuan perlu diselesaikan,” titah baginda pada Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Sultan Sallehuddin bertitah, kerajaan perlu mengambil langkah bekerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan perkhidmatan teknologi pertanian pada harga murah dan berkualiti.

Sementara itu, titah baginda, sektor pertanian terutamanya pengeluaran beras adalah sektor ‘lifeline’ yang menjadi asas keselamatan makanan negeri dan negara.

“Pembekalan beras bagi memenuhi keperluan negara adalah tanggungjawab strategik negeri kepada Persekutuan yang tidak
akan dikompromi demi memastikan kelangsungan dan keselamatan negara kekal terjamin.

“Oleh yang demikian, tanpa memperluaskan kawasan jelapang padi sedia ada, kerajaan negeri perlu memikirkan langkah wajar untuk meningkatkan produktiviti padi di negeri ini,” titah Sultan Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI