fbpx

Kerajaan fokus pelaksanaan cukai sedia ada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerajaan mengambil masa untuk menilai semula struktur cukai sedia ada. -Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memfokuskan kepada pelaksanaan cukai yang sedia ada seperti Cukai Perkhidmatan buat masa sekarang, sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, GST adalah struktur cukai yang sentiasa dan akan terus dilihat oleh kerajaan.

“Ia akan mengambil masa sebelum kami menilai semula semuanya (struktur pencukaian).

“Pada masa sekarang, fokus kami ialah peralatan yang kami ada, iaitu Cukai Perkhidmatan dan yang lain-lain,” katanya pada sidang akhbar  selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan di sini, semalam.

Mengulas mengenai kekeliruan yang timbul disebabkan pelaksanaan kenaikan kadar Cukai Perkhidmatan kepada lapan peratus bermula Mac ini, selain pelaksanaan Cukai Barangan Mewah yang dijadualkan bermula Mei depan, Amir Hamzah berkata, ketika kerajaan cuba untuk meningkatkan perolehan, prinsip teras yang diamalkan ialah memastikan ia memberi impak yang minimum kepada rakyat.

Katanya, sektor seperti F&B (makanan dan minuman) dan parkir yang melibatkan ramai orang tidak terlibat dalam kenaikan tersebut.

Sambil mengiktiraf bahawa komunikasi kerajaan berhubung pelaksanaan kenaikan Cukai Perkhidmatan boleh dilakukan dengan lebih baik, beliau menegaskan kebimbangan utamanya kini ialah ada pihak yang akan cuba mengaut keuntungan daripada sebarang pengumuman kenaikan daripada kerajaan.

“KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) telah mengumumkan akan melakukan penguatkuasaan dari segi harga barang.

“Selain itu, orang ramai juga boleh memainkan peranan dan membuat laporan sekiranya mereka merasakan kenaikan harga itu tidak konsisten dengan peningkatan Cukai Perkhidmatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI