fbpx

Malapetaka tolong kawan baharu dikenali, lelaki rugi RM427,940

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Gara-gara gelap mata dijanjikan diberikan komisyen lumayan RM6 juta, seorang lelaki mengalami kerugian RM427,940 apabila terpedaya dengan janji seorang individu yang baharu dikenalinya.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pengadu mendakwa ditipu seorang individu (suspek) dalam urusan untuk mengeluarkan wang berjumlah RM25 juta daripada akaun bank suspek berkenaan.

Menurutnya, pada November 2021, rakan pengadu memperkenalkan suspek kepadanya yang mana suspek juga seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun.

“Suspek menyatakan dia mempunyai wang berjumlah RM25 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya dari luar negara.

“Suspek memohon pertolongan pengadu untuk memberikan wang bagi membayar pelbagai kos seperti cukai kerajaan untuk kemasukan wang dari luar negara itu dan turut menjanjikan bayaran balik wang bersama komisyen berjumlah RM6 juta jika pengadu membantunya,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Sohaimi berkata, suspek turut menunjukkan beberapa dokumen untuk meyakinkan pengadu bahawa wang RM25 juta itu benar-benar wujud.

Katanya, oleh kerana yakin dan percaya dengan janji-janji suspek, bermula Disember 2021 hingga Jun 2023, pengadu telah menyerahkan wang kepada suspek secara tunai dan turut dimasukkan ke dalam empat akaun bank berbeza sebanyak 98 kali transaksi yang keseluruhannya berjumlah RM427,940.

Pada Julai 2023, suspek masih meminta pengadu membuat bayaran membuatkan pengadu mula merasa curiga dan menuntut kembali wangnya, namun suspek bertindak menghilangkan diri dan gagal dikesan.

“Pengadu percaya dia telah ditipu oleh suspek lalu membuat laporan polis di Balai Polis Seri Alam semalam,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan pihaknya turut menjalankan siasatan lanjut yang meliputi pembabitan keldai akaun.

“Sekiranya ada membabitkan keldai akaun, tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI