fbpx
Di lokasi di Kampung Pantos, Sungai Koyan, Lipis inilah seorang remaja maut selepas tertimbus ketika mendulang emas kelmarin.

Hidup atau mati biarlah di lubang ini – Mangsa maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Seorang remaja lelaki bagaikan sudah mengetahui mengenai ajal kematiannya apabila dia tetap mahu memasuki kawasan berlubang semata-mata untuk mendulang emas dalam kejadian di Kampung Pantos, Sungai Koyan di sini kelmarin.

Bagaimanapun, tindakan mangsa, Budiman Johan, 18, itu memakan diri apabila dia tertimbus oleh runtuhan tanah kira-kira pukul 12 tengah malam sebelum mayatnya berjaya dibawa keluar tiga jam kemudian.

Menurut ibu mangsa, Sapinah Abdullah, 65, kejadian berlaku ketika arwah bersama abangnya, Kisarudin Johan, 40, sepupu dan dua rakan pergi ke lokasi kejadian kira-kira pukul 8 malam untuk mendulang emas.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, Kisarudin telah melarang adik­nya itu daripada memasuki lubang berkenaan, namun arwah tetap mahu mendulang emas di kawasan itu.

“Abangnya memang tidak benarkan arwah untuk masuk (ke lubang) sebab bahaya, tetapi dia tetap berdegil.

“Malah, arwah sempat beri­tahu abangnya tentang kematian. Arwah kata, ‘hidup atau mati biarlah di lubang ini’,” kata­nya ketika ditemui di Pos Pantos di sini semalam.

Sapinah

Menceritakan detik-detik kejadian itu, Sapinah berkata, kira-kira pukul 12 tengah malam semasa arwah sibuk menggali tanah menggunakan tangan, tiba-tiba berlaku runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

“Runtuhan itu menyebabkan lubang tempat arwah duduk untuk menggali tertimbus dengan tanah, batu dan bongkah buluh besar.

“Melihat situasi ini, abangnya bersama rakan bertindak menggali timbunan tanah berkenaan bagi mencari arwah sebelum menemuinya tiga jam kemudian,” katanya.

Tambah Sapinah, ketika kejadian, dia bersama suami, Johan Rengai, 65, sedang tidur di rumah sebelum dikejutkan de­ngan panggilan daripada cucunya yang memaklumkan kejadian tersebut kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya lagi, suaminya terus bergegas ke tempat kejadian untuk sama-sama menggali tanah dan berjaya mengeluarkan jasad arwah.

“Masa tarik keluar arwah, suami saya sudah menjangkakan anaknya telah meninggal dunia. Arwah tidak mengalami sebarang kecederaan serius cuma ada sedikit luka di dahi dan kening akibat terkena batu,” katanya.

Menurut Sapinah, sebelum ini arwah yang merupakan anak kelapan dari 11 beradik tidak pernah melakukan kerja mencari emas kerana lebih gemar me­lakukan kerja kampung seperti menangkap ikan.

“Cuma semasa hari kejadian, arwah cuba ikut abangnya pergi mendulang emas dan itulah kali pertama dia melakukan kerja berkenaan.

“Saya pun masih tidak percaya dengan kejadian ini sebab arwah tidak sakit, tiba-tiba sahaja dia pergi dengan cara mengejut se­perti ini.

“Sehingga kini saya tidak boleh pergi ke lokasi kejadian, rasa tidak sanggup hendak tengok lubang yang meragut nyawa anak sendiri,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan, keghairahan seorang remaja untuk mendulang emas di kawasan pembetung parit sebuah ladang kelapa sawit berakhir tragedi apabila dia maut selepas ditimpa tanah runtuh dalam kejadian di Kampung Pantos, Sungai Koyan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd. Noor berkata, berdasarkan siasatan, mangsa Budiman Johan, 18, pergi ke ladang sawit di Pos Pantos bersama tiga hingga empat rakannya untuk mendulang emas kira-kira pukul 3 pagi semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN