SUASANA kediaman yang tenang, nyaman dan kemas mampu memberikan kesan terapeutik kepada penghuninya.
Gabungan pelbagai elemen seperti pencahayaan, susun atur perabot serta aksesori rumah menyumbang kepada aspek tersebut.
Bagi Norheazieyanti Rahmat, 36, dan suaminya, Muhammad Ahmad Mohamed Ali, 34, suasana tersebut dicapai dengan memadankan warna putih dengan warna dalam kategori Earth tone.
Menurut Norheazieyanti, tata hias kediaman teres dua tingkat di Durian Tunggal, Melaka miliknya itu diinspirasikan daripada konsep Japandi.
“Saya sangat minat dengan tata hias yang bersifat minimalis dan ringkas. Saya suka gabungan warna-warna tenang seperti Earth tone.
“Saya menggunakan warna putih untuk dinding keseluruhan bagi memberikan impak luas dan mudah dipadankan dengan warna lain,” katanya kepada K2.
Keunikan pada kediaman yang baru setahun diduduki pasangan tersebut adalah di bahagian ruang tamu.
Tidak seperti kebanyakan rumah lain, ruang tamu rumah berkenaan itu tidak memiliki sofa.
Ini bermaksud, sesiapa yang mahu menonton televisyen boleh duduk bersila di atas permaidani berwarna coklat keemasan.
Ujar suri rumah itu, ruang tersebut akan kekal tidak bersofa buat sementara waktu sehingga anak-anaknya membesar.
“Saya sengaja terapkan konsep ruang tamu tanpa sofa untuk beri ruang kepada anak-anak saya yang berusia tiga dan lima tahun bermain.

“Sekiranya tetamu tidak selesa duduk di bawah, mereka boleh duduk di meja makan yang dekat dengan ruang tamu,” ujarnya.
Bersesuaian dengan konsep Japandi, rona-rona berunsurkan warna krim, coklat keemasan dan warna kayu diterapkan pada rak, langsir, bidai dan permaidani.
Cara itu memperlihatkan kesinambungan antara ruang tamu, ruang makan serta ruang dapur yang tidak memiliki dinding penghadang.
Pada bahagian berhampiran tangga, fluted wall dipasang bagi menambahkan tekstur kepada ruang berkenaan.
“Dahulu, ruang ini kosong sahaja. Memandangkan ruang ini berhadapan dengan pintu masuk, kami buat keputusan untuk pasang fluted wall.
“Kami buat sendiri bahagian ini. Hasilnya, bahagian ini nampak lebih berseri terutama apabila ditambah dengan warm light,” katanya.
Untuk pengetahuan, anggaran kos tata hias rumah yang mengambil masa sebulan untuk selesai itu adalah RM45,000.
Sementara itu, tumbuhan-tumbuhan artifisial digunakan di dalam rumah bagi menambahkan aura kesegaran pada kediaman tersebut.
Jika dilihat dengan teliti, setiap sudut rumah tersebut diselitkan dengan tumbuhan seperti bunga orkid dan pokok skybird.
Cuma ada satu pokok hidup yang diletakkan di dapur iaitu money tree.
Kata ibu kepada dua anak berkenaan, selain pokok, pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam persembahan keseluruhan dekorasi.
“Dalam rumah ini hanya ada satu lampu candelier. Bahagian lain saya gunakan downlight, eyeball dan t5 untuk Lbox ceiling.
“Pada bahagian kaunter bar, saya letak lampu pendant. Bahagian dapur pula kipas kecil dan berlampu,” jelasnya.















