fbpx

Sultan Selangor amat dukacita kepada Abdul Hadi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berdukacita berhubung kenyataan terbuka Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak beradab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Ini susulan kenyataan Abdul Hadi di media sosial bertajuk ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ yang ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli parlimen, Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Kenyataan yang dikeluarkan itu dipercayai susulan titah Sultan Sharafuddin semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari lalu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, kenyataan Abdul Hadi itu mengambarkan beliau tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah Sultan Sharafuddin serta tidak memahami intipati ucapan baginda berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Katanya, kenyataan sinis Abdul Hadi yang secara tidak langsung mengaitkan ucapan Sultan Sharafuddin dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.

“Ini adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

“Kenyataan Abdul Hadi itu bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya orang Melayu di negara ini,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah Klang.

Penzahiran dukacita oleh Sultan Sharafuddin tersebut adalah menerusi surat yang diutuskan kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri.

Muhamad Munir memberitahu, sekiranya Abdul Hadi lebih berhati-hati dengan meneliti dan memperhalusi titah Sultan Sharafuddin sebelum membuat kenyataan itu, maka Abdul Hadi akan memahami maksud sebenar baginda.

Tegas beliau, kenyataan Abdul Hadi yang menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang ciptaan penjajah yang mengenepikan kedudukan agama Islam, amat tidak bertepatan.

Ini selepas Abdul Hadi yang merupakan ahli parlimen veteran telah beberapa kali mengangkat sumpah setia jawatan dengan penekanan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi, kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama Persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi.

“Adakah Abdul Hadi tidak lagi menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara dan menggambarkan beliau sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya umat Islam yang berbangsa Melayu,” ujarnya.

Justeru itu, Muhamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin menasihatkan Abdul Hadi supaya lebih berhati-hati di masa hadapan agar tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu melalui kenyataan-kenyataan beliau yang boleh memecah-belahkan umat Islam di negara ini.

“Baginda juga menitahkan agar ahli-ahli politik dan pemimpin politik tidak memperalatkan agama Islam dan mencemari kesucian agama Islam demi kepentingan politik kepartian masing-masing,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI