fbpx

Muhammad Sanusi akan kemuka representasi, kekal mengaku tidak salah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAH ALAM - Muhammad Sanusi ketika hadir di Mahkamah Tinggi, hari ini. Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Pihak pembelaan dalam kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa atas dua pertuduhan menghasut, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membatalkan dua pertuduhan itu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi, 50, semasa sebutan kes kali pertama dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin di sini hari ini.

“Pihak pembelaan akan menghantar representasi kepada Peguam Negara (AG) dalam tempoh terdekat ini. Oleh itu, pihak pembelaan memohon untuk satu tarikh sebutan bagi status representasi ditetapkan,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah dengan permohonan pihak pembelaan berhubung representasi itu namun memohon mahkamah menetapkan terus tarikh-tarikh perbicaraan.

“Dalam tempoh itu, pendakwaan percaya pihak pembelaan boleh kemuka representasi dan ada pada masa sama representasi itu boleh diteliti peguam negara. Jadi kami mohon mahkamah menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan,” katanya.

Dalam prosiding sama, Abdul Malik turut memaklumkan seramai 10 saksi pendakwaan akan dipenggil memberi keterangan.

Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Aslam menetapkan 3 Mei ini bagi sebutan semula kes dan status representasi berkenaan.

Mahkamah kemudian turut menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan ialah pada 22, 23, 26, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12 dan 13 Ogos ini.

Terdahulu semasa prosiding ketika dibacakan semula dua pertuduhan selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, Muhammad Sanusi kekal mengaku tidak bersalah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan tersebut Muhammad Sanusi didakwa telah menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.

Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Februari lalu, Muhammad Sanusi berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya untuk dibicarakan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Mahkamah Tinggi di sini memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri selaku pemohon untuk memindahkan kes itu.

Sebelum itu, pada Januari lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.

Alasan permohonan dibuat ialah, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.

Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.

Pihak pendakwaan selaku responden dalam hujahan secara bertulis menyatakan, Hakim Mahkamah Sesyen adalah kompeten dan berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan kes jenayah.

Berdasarkan afidavit jawapan terhadap permohonan Muhammad Sanusi, pihak pendakwaan berkata kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti yang didakwa oleh pihak pemohon. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI