PETALING JAYA – Sebahagian pihak pengurusan masjid tidak berkira untuk memberi elaun sehinggga mencecah RM18,000 sebulan untuk seorang imam solat tarawih ketika Ramadan tahun ini sebagai salah satu cara untuk menarik kehadiran jemaah dan memeriahkan bulan puasa.
Tinjauan mendapati, imam tarawih di sekitar Kuala Lumpur dibayar antara RM12,000 hingga RM18,000 berdasarkan kepada kelulusan daripada pihak masjid dan kemampuan semasa mereka.
Seorang jurucakap sebuah masjid di ibu kota berkata, seperti tahun-tahun lepas, imam tarawih merupakan jemputan dari luar masjid dan mestilah warga tempatan.
“Mereka akan dibayar antara RM100 hingga RM200 sejam. Bayaran pula mengikut jam dan hari bertugas,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, kebiasaannya dalam sehari, imam jemputan solat tarawih akan bertugas antara dua hingga tiga jam dan bayarannya tertakluk kepada kadar elaun yang dibenarkan pihak pentadbir masjid.
Menurut jurucakap itu, masjid yang dikendalikannya akan menjemput tiga imam luar khusus untuk memimpin solat tarawih.
“Imam tetap akan menjalankan tugas seperti biasa berbeza dengan imam tarawih yang akan bertugas secara bergilir-gilir yang dibahagikan mengikut jadual ditetapkan pihak pengurusan.
“Bagi masjid kami, imam jemputan tarawih adalah orang yang sama setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, di Pasir Puteh, pihak pengurusan Masjid Mukim Permatang Sungkai menjemput dua imam dari Selatan Thailand untuk memimpin solat tarawih untuk jemaah di situ dengan elaun RM12,000 sebulan.
Imam muda masjid, Azmi Hussin berkata, elaun itu berdasarkan jumlah tunai yang ada dalam akaun masjid dan daripada sumbangan orang ramai sempena Ramadan.
“Imam berusia dalam lingkungan 20-an itu kita jemput dari sebuah maahad tahfiz di wilayah Songkhla, Thailand.
“Kami mempunyai hubungan baik dengan maahad tersebut sejak 10 tahun lalu dan sering memanggil hafiz dari situ untuk menjadi imam tarawih,” katanya.
Menurut Azmi, elaun RM6,000 seorang itu dirasakan setimpal dengan pengalaman dan ilmu al-Quran yang dimiliki mereka ketika memimpin solat tarawih.
Tambahnya, pihak pengurusan tidak menganggap ia sesuatu yang mahal, bahkan berpatutan kerana bukannya untuk kegiatan yang melalaikan selain mengambil kira kos perjalanan mereka ke situ.
Sementara itu, Setiausaha Masjid Mukim Kampung Wakaf di sini, Saiful Amri Razali berkata, rata-rata masjid di daerah ini menghulurkan sumbangan atau bayaran kepada imam atas dasar keikhlasan bagi mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.
Menurutnya, segala bayaran itu diberikan untuk menggalakkan lebih ramai imam muda yang mampu menghafaz dan mengalunkan bacaan al-Quran dengan baik.
“Pengurusan Masjid Mukim Kampung Wakaf telah memilih dua imam dari Madrasah Ribat Toha Kampung Wakaf untuk mengimamkan solat tarawih tahun ini.
“Kedua-dua imam terbabit akan melanjutkan pengajian mereka ke Yemen hujung tahun ini dan memerlukan sedikit dana tambahan bagi perbelanjaan awal mereka,” katanya.
Saiful Amri memberitahu, pihak masjid turut menyediakan sebuah motosikal Modenas Kriss bernilai RM3,800 bagi program cabutan bertuah penduduk yang hadir solat subuh berjemaah di masjid itu sepanjangan bulan Ramadan. -KOSMO! ONLINE















