KEWUJUDAN kenderaan elektrik (EV) merupakan langkah ke arah menggalakkan penggunaan tenaga bersih (clean energy) bagi memberi pelbagai faedah kepada alam sekitar dan ekonomi.
Dalam usaha itu, pelbagai jenis EV telah diperkenalkan dan akses pengecasan turut diperbanyakkan untuk membudayakan penggunaannya.
Sebagai syarikat yang bergiat aktif dalam menggalakkan penggunaan tenaga bersih, Gentari Sdn. Bhd. (Gentari) telah melancarkan aplikasi Gentari Go.
Aplikasi itu merupakan sebuah platform yang bukan sahaja memudahkan para pemandu EV untuk mencari stesen pengecas di seluruh negara, malah menggalakkan penggunaan tenaga bersih dalam kalangan masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli, Gentari Go membenarkan pengguna untuk mengakses stesen pengecas di Thailand dan Singapura.
Ujarnya, ia dilakukan dengan kerjasama operator titik pengecas (CPO) seperti CDG Engie, City Energy Go dan EVolt.
“Matlamat kami adalah untuk menjadi platform pilihan bagi setiap pengguna memulakan perjalanan tenaga bersih.
“Melalui aplikasi ini, kami bukan sahaja membantu pengguna dengan direktori lebih 2,000 stesen pengecas dalam ketiga-tiga negara, malah menghubungkan mereka dengan penyedia khidmat sewa kenderaan EV,” katanya.
Shah Yang berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi Gentari Go di Sentul, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, pilihan untuk menyewa EV adalah melalui perkongsian dengan GoCar, sekali gus membantu pengguna merasai pengalaman memandu kereta mesra alam itu.
Gentari Go menawarkan antara muka ringkas yang membimbing pengguna kali pertama melalui proses penemuan, pengaktifan dan pembayaran mudah.

Bagi pengguna berpengalaman, pihaknya telah menyepadukan ciri tambahan seperti cerapan masa nyata tentang penggunaan tenaga semasa sesi pengecasan.
Kongsinya lagi, aplikasi Gentari Go menyediakan beberapa ciri seperti lokasi serta jarak ke stesen pengecasan, kadar pengecasan dan bilangan pengecas tersedia.
Sebagai salah satu penyedia pengecasan EV, Gentari mempunyai banyak stesen di seluruh Malaysia.
Syarikat itu juga menyediakan sistem mata ganjaran, di mana pengguna boleh mengumpulnya dengan setiap cas di kemudahan Gentari .
“Selaras dengan matlamat Gentari Go, platform ini menggabungkan tenaga boleh diperbaharui Gentari yang disokong oleh penyelesaian rumah tenaga.
“Misalnya, pengecasan rumah EV serta solar yang membolehkan aliran tenaga hijau dari bumbung, dinding dan seterusnya ke Roda.
“Gentari Go seterusnya menggalakkan penggunaan tenaga bersih dengan memberi ganjaran kepada pengguna menerusi insentif.
“Pengguna boleh menebus mata ganjaran dan menyumbang kepada punca tenaga bersih,” ujarnya.
Shah Yang berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan Gentari Go sebagai aplikasi super yang menggabungkan semua fungsi dalam menyokong penggunaan tenaga bersih.
Gentari turut berbesar hati untuk bekerjasama dengan semua pemain industri dalam tenaga bersih.
Ia bertujuan mengembangkan lagi potensi aplikasi itu bagi menghubungkan akses tenaga bersih kepada masyarakat.














