fbpx

Ratifikasi FSA jamin stok bekalan ikan dunia mampan – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul semasa Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Peringkat Menteri WTO ke 13 (MC13) di Abu Dhabi hari ini.

PETALING JAYA – Malaysia berjaya mendepositkan Instrumen Penerimaan (Instrument of Acceptance) bagi meratifikasi Perjanjian Subsidi Perikanan (FSA) kepada Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr. Ngozi Okonjo-Iweala.

Memaklumkan perkara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sehingga kini, 69 negara anggota WTO termasuk Malaysia, telah meratifikasi FSA yang dimuktamadkan pada Jun 2022 di Geneva, Switzerland.

Menurutnya, perjanjian itu penting sebagai satu usaha global dalam mendisiplinkan subsidi tertentu, demi memastikan kemampanan stok ikan dunia yang kian terancam dan semakin berkurangan.

“Dengan meratifikasi FSA, Malaysia menunjukkan komitmen kita terhadap kerjasama global dan pengurusan bertanggungjawab lautan kita.

“Saya menggesa semua anggota WTO untuk menyertai kami dan mempercepatkan proses ratifikasi mereka bagi menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti marin dan mata pencarian berjuta-juta orang yang bergantung pada hasil lautan.

“Tindakan dan komitmen kita hari ini akan memastikan masa depan anak-anak kita yang lebih cerah,”tulisnya di laman Facebook.

Terdahulu, Tengku Zafrul memaklumkan perjanjian FSA itu diratifikasi semasa Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Peringkat Menteri WTO ke 13 (MC13) di Abu Dhabi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, FSA menggariskan disiplin kepada subsidi aktiviti perikanan bagi menggalakkan amalan penangkapan ikan yang mampan.

Ujarnya, ia merupakan langkah ke arah menghapuskan penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawalselia (IUU) serta menggalakkan aktiviti penangkapan ikan yang lestari dan memelihara keseimbangan ekosistem marin.

“Selain itu, FSA memastikan bahawa sebarang subsidi yang diberikan oleh negara anggota adalah telus dan bertanggungjawab serta membolehkan pemantauan pematuhan yang berkesan.

“Perjanjian itu juga mengiktiraf perbezaan negara membangun dan kurang membangun serta menyediakan bantuan teknikal serta program pembinaan kapasiti untuk membantu negara-negara yang memerlukan bagi mengukuhkan sistem pengurusan aktiviti perikanan mereka,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI