fbpx

K2

Pelajar sekolah timba ilmu automotif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SYARIZUL memerhatikan Muhammad Danish membaiki kenderaan sambil dibantu Mohd. Nazim.

SAMBIL memegang sebatang sepanar, tangan Muhammad Danish Darwesh Aiman Haikal, 17, ligat membuka skru yang mengikat penyerap hentak sebuah kereta yang sedang dalam proses pembaikan.

Walaupun baru enam bulan menjalani latihan di bengkel membaiki kenderaan terletak di Kampung Kuang, Sungai Buloh, Selangor itu, dia sudah semakin serasi dengan kerja-kerja ‘kotor’ tersebut.

“Saya tak kisah kalau tangan saya berlumuran minyak hitam kerana saya memang minat dengan bidang automotif ini.

“Memang sudah menjadi cita-cita saya untuk menjadi tenaga pakar dalam bidang ini suatu hari ni.

“Sebab itulah apabila terpilih menjadi pelatih menerusi Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) ketika berada di tingkatan 4 tahun lalu, saya terus ambil peluang keemasan ini untuk capai cita-cita saya. Kini, saya teruskan untuk tahun kedua latihan,” katanya.

Dia yang kini pelajar tingkatan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Rahman Putra merupakan pelatih PIMA yang menjalani latihan di bengkel Altimat Auto Garage selepas bengkel itu dipilih menjadi pusat latihan industri bagi pelajar sekolah yang mengikuti program tersebut.

Malah, katanya, sekiranya berjaya memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan diduduki hujung tahun ini, dia merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan automotif.

“Jika ada rezeki, saya ingin menjadi seorang jurutera automotif yang mahir selain turut mempunyai bengkel membaiki kenderaan sendiri pada masa akan datang.

“Oleh itu, saya akan gunakan masa dua tahun di bengkel ini untuk belajar asas-asas berkaitan membaiki kenderaan sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang ini,” tambahnya.

Untuk rekod, PIMA adalah program berbentuk vokasional yang ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di sekolah-sekolah menengah kebangsaan (SMK) terpilih bagi memberi peluang kepada pelajar yang kurang meminati bidang akademik untuk mendalami bidang kemahiran.

Program selama dua tahun itu turut memberi peluang kepada pelajar terpilih untuk terus bekerja dalam bidang yang diceburi selepas tamat tingkatan 5, selain turut berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang yang sama.

Bekas pelajar PIMA, Mohd. Nazim (kiri) yang bekerja di bengkel itu memberi tunjuk ajar kepada pelajar PIMA, Muhammad Danish.

Kejayaan program PIMA dalam melahirkan tenaga kerja dalam bidang automotif dalam kalangan orang muda telah terbukti apabila seorang lepasan program tersebut, Mohd. Nazim Sirajudin Azhar, 21, telah diterima bekerja di bengkel tersebut.

Dia yang mengikuti program PIMA ketika menjadi pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh pada tahun 2018 hingga 2019 kini merupakan antara tenaga kerja mahir di Altimat Auto Garage.

“Di bengkel ini, saya banyak melakukan kerja-kerja pembaikan berkaitan suspensi kenderaan selain turut terlibat dalam kerja-kerja lain termasuk membuka dan memasang enjin.

“Saya bersyukur kerana hasil daripada program PIMA yang saya ikuti sebelum ini, saya kini sudah mempunyai kerjaya yang boleh menjamin masa depan saya,” katanya.

Kemahiran Mohd. Nazim dalam kerja-kerja membaiki kenderaan turut diakui Pengarah Urusan Altimat Auto Garage, Mohd. Syarizul Mat Sali.

Malah, katanya, bekas pelatih program PIMA itu juga merupakan antara tenaga kerja mahir yang penting di bengkelnya yang kini mempunyai kira-kira 10 orang mekanik.

Jelasnya lagi, keputusannya menerima Mohd. Nazim bekerja di bengkelnya itu sejak pertengahan tahun lalu adalah bertepatan dengan objektif syarikatnya itu untuk menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada golongan muda.

“Sebagai pemilik bengkel membaiki kenderaan milik bumiputera sepenuhnya, saya terpanggil untuk memberi peluang kepada golongan muda bagi mempelajari bidang automotif di sini.

“Malah, sejak awal bengkel ini beroperasi bermula tahun 2020, kami sudah menerima lebih 10 pelajar di pelbagai peringkat pengajian untuk menjalani latihan industri di sini, termasuk satu lagi cawangan kami di Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh.

“Memang sudah menjadi hasrat saya untuk membuka peluang seluas-luasnya kepada golongan muda untuk mempelajari selok-belok perniagaan dengan menjalani latihan di sini.

“Di bengkel ini, kami bukan sahaja menerima pelajar latihan industri dalam bidang automotif, tetapi juga dalam bidang-bidang lain termasuklah sumber manusia, pengurusan perniagaan, perakaunan dan lain-lain,” katanya.

Mohd. Syarizul menyifatkan, pemilihan bengkelnya untuk mengendalikan latihan bagi pelajar program PIMA juga merupakan satu pengiktirafan kepada perniagaan yang diusahakannya itu untuk membantu golongan muda membina kerjaya.

Tambahnya, pihaknya juga dalam proses untuk menyediakan sebuah asrama kepada pelatih yang mengikuti latihan di bengkelnya bagi menjamin keselesaan dan keselamatan mereka sepanjang menjalani latihan di bengkel tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI