fbpx

Sorok lori bawa diesel seludup dalam ladang kelulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tong-tong jerikin berisi diesel yang berada di dalam sebuah lori ladang kelulut di Jalan Kuala Krai dekat Kampung Kubang Bangor, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN KPDN

KOTA BHARU – Taktik sindiket penyeludup menyembunyikan sebuah lori yang membawa 1,950 liter minyak diesel di ladang kelulut di Jalan Kuala Krai dekat Kampung Kubang Bangor di sini terbongkar selepas anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KDPN) Kelantan menyerbu kawasan itu semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 7.30 malam selepas anggota penguat kuasa KPDN Kelantan menjalankan intipan terhadap sebuah lori jenis Isuzu di kawasan ladang tersebut.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an untuk membantu siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap lori itu menjumpai sebanyak 78 tong jerikin yang berisi 1,950 liter minyak diesel.

“Siasatan mendapati, suspek dipercayai mengggunakan lori tersebut yang telah diubah suai tangkinya sebelum membuat pengisian diesel secara berulang kali.

“Diesel itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam tong-tong jerikin di bahagian belakang lori sebelum diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di kawasan Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman memberitahu, suspek yang ditahan mengaku bahan api itu tidak mempunyai dokumen pemilikan, lesen barang kawalan atau kebenaran dari pengawal bekalan.

Tambahnya, lelaki itu turut ditahan oleh polis selepas terlibat dengan penyalahgunaan dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI