fbpx

Shazrin yakin program latihan MSN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHAZRIN (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Hamidin di Petaling Jaya hari ini. - SADDAM YUSOFF

PETALING JAYA – Meskipun tidak berada dalam program Road To Gold (RTG), namun atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd. Latif tidak mudah melatah ketika pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 berbaki beberapa bulan sahaja lagi.

Sebaliknya, atlet kelahiran Johor itu menaruh sepenuh kepercayaan terhadap program latihan yang diperuntukkan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi membantunya melakukan persiapan sebelum menggalas misi negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Difahamkan, Shazrin akan menjalani latihan selama beberapa minggu di Palma, Sepanyol bermula 23 Mac depan sebelum menyertai kejohanan Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis pada 18 hingga 27 April nanti.

“Berhubung senarai RTG, saya tahu (kedudukan) di mana, jadi saya percaya 100 peratus dengan program yang diberikan MSN. Tugas saya sekarang hanyalah memperbaiki kelemahan serta bekerja lebih keras.

“Setakat ini, program dari MSN adalah saya akan pergi ke Palma dan Hyeres. Saya akan menjalani latihan di Palma selama dua minggu dan selepas itu akan ada Last Chance Regatta di Hyeres,” katanya ketika ditemui selepas majlis pertemuan dengan Ketua Kontinjen (CDM) Olimpik Paris, Datuk Hamidin Mohd. Amin, di sini hari ini.

Atlet berusia 26 tahun itu menjelaskan, aksi di Regatta nanti bakal menjadi pemanas badan terbaik buatnya memandangkan atlet-atlet yang sudah melayakkan diri ke Olimpik Paris akan turut mengambil bahagian.

“Laluan perlumbaan di Regatta nanti memang sama dengan Sukan Olimpik, jadi kelebihan untuk saya bagi melihat apa aspek yang perlu diperbaiki. Hyeres adalah kejohanan paling besar kerana banyak pasukan akan bertanding,” tambahnya.

Sementara itu, Hamidin memberi jaminan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS), MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memberikan bantuan penuh kepada semua atlet yang layak ke Sukan Olimpik meskipun tidak berada dalam RTG.

“Seperti yang dibincangkan dengan Menteri (Hannah Yeoh), pihak saya, MSN dan MOM akan bantu mana-mana permintaan atlet yang sudah layak. Memang kita akan bagi sokongan biarpun mereka tidak berada dalam RTG,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI