fbpx

Pasha Ungu ‘iktiraf’ pengaruh band Malaysia di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vokalis kumpulan Ungu, Pasha mengakui band dari Malaysia banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada kemajuan industri muzik Indonesia terutama pada era 1990-an. - AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Ungu, Pasha mengakui band dari Malaysia banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada kemajuan industri muzik Indonesia terutama pada era 1990-an.

Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 45, ketika tampil pada konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless, di sini, malam tadi turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada pemuzik dari Malaysia kerana telah banyak mencetuskan ilham serta inspirasi kepada band-band di Indonesia untuk berkembang.

“Saya harus membuat pengakuan kepada penonton di Malaysia bahawa band dari negara ini sebenarnya telah banyak memberi pengaruh dan inspirasi kepada muzik di Indonesia.

“Pada kesempatan ini, saya mewakili pemuzik dari Indonesia ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan pemuzik di Malaysia kerana sudah banyak memberi rujukan kepada kami,” ujarnya pada konsert yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Ketika konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Pasha turut menghiburkan kira-kira 5,000 penonton yang hadir dengan menyanyikan dua buah lagu popular band tempatan iaitu Exist (Mencari Alasan) dan Ukays (Di Sana Menanti Di sini Menunggu).

PADA konsert yang berlangsung malam tadi, Pasha memberi persembahan bertenaga dengan mendendangkan hampir 30 buah lagu. Foto AFIQ RAZALI

Kedua-dua buah lagu popular itu dinyanyikan sebagai tanda penghargaan Ungu terhadap band dari Malaysia kerana memberi inspirasi kepada arena muzik di Indonesia.

Tambah Pasha lagi, selain muzik dari Eropah dan Timur Tengah, karya-karya dari Malaysia terutama pada era tahun 1990-an juga banyak memberi pengaruh kepada industri muzik di Indonesia.

“Selain muzik luar contohnya dari Eropah dan Timur Tengah, muzik dari Malaysia pada era tahun 1990-an juga banyak memberi pengaruh kepada industri seni di Indonesia.

“Izinkan kami memberikan penghormatan kepada pemuzik dan rakyat Malaysia menyanyikan lagu tersebut (Mencari Alasan dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu).

“Terima kasih kerana menghasilkan lagu-lagu yang hebat untuk kami,” jelasnya.

Konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur – 30 Hits Timeless yang dianjurkan oleh Icon Entertainment dan Ake Group itu menyaksikan Ungu menghiburkan peminat mereka dengan seleksi 20 buah lagu malar segar seperti Cinta Dalam Hati, Kekasih Gelapku, Demi Waktu, Tercipta Untumu dan Andai Ku Tahu.

Selain Pasha selaku vokalis, Ungu yang ditubuhkan pada tahun 1996 di Jakarta turut dianggotaii oleh Enda (gitar), Oncy (gitar), Makki (bass) dan Rowman (dram). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI