fbpx

DUN Perak: RM5 juta baik pulih, bina baharu insititusi pendidikan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani menjawab soalan lisan pada Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Sebanyak RM5 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih dan membina baharu institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukkan itu merangkumi pembangunan di Tadika Islam Perak, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah tahfiz.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan perkapita kepada 89,226 murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dengan kadar RM50 setahun dan bantuan berkapita Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM24.

“Tambahan elaun juga turut diberikan kepada 3,210 guru KAFA iaitu sebanyak RM200 sebulan.

“Penyaluran bantuan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri dalam membangunkan sahsiah anak watan Perak menerusi sistem pendidikan yang disediakan oleh KAFA,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Dalam pada itu Saarani berkata, bagi memastikan tiada murid tercicir daripada mendapat pendidikan sewajarnya, enam buah sekolah kebangsaan di negeri ini telah melaksanakan KAFA tulen.

Menurut beliau, KAFA tulen yang diwujudkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) itu beroperasi di sekolah kebangsaan terpilih terutama di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan kawasan yang jaraknya jauh daripada kelas KAFA.

Beliau berkata, sekolah kebangsaan yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Selama, Selama; SK Sungai Ramai, Ayer Tawar; SK Dato’ Sagor, Kampung Gajah; Pusat Kebajikan Taman Seri Puteri, Batu Gajah; SK Ulu Slim, Slim River dan SK Kumpulan Ganda, Teluk Intan.

“Kelas KAFA tulen ini melaksanakan kurikulum KAFA Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sama seperti kurikulum yang diguna pakai di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Intergrasi KAFA yang lain.

“Kelas KAFA tulen ini juga akan ditambah dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan pendidikan agama di sesuatu kawasan bagi memastikan tiada murid yang tercicir dalam mengikuti kelas KAFA di seluruh Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI