fbpx
KULIT serta kuku harimau Malaya yang dirampas oleh Perhilitan.

Simpan taring harimau untuk kebal, azimat cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taasub terhadap kepercayaan mistik yang menebal kononnya bahagian badan haiwan terancam mampu menjadikan pemakainya kebal dan azimat antara punca hidupan liar semakin cepat pupus.

Malah, harga yang ditetapkan bagi setiap bahagian haiwan seperti gajah, harimau, dan babi hutan naik ‘meroket’ apabila sebatang gigi haiwan berkenaan mampu mencecah RM100 sebatang.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, setakat ini pihaknya telah merekodkan sebanyak tujuh kes melibatkan pemburuan harimau belang sejak 2013.

Katanya, hidupan liar yang sering menjadi buruan pemburu haram untuk dijadikan tangkal selain daripada harimau belang adalah haiwan seperti babi hutan dan gajah.

“Bahagian hidupan liar yang dijadikan tangkal adalah seperti gigi, taring, kulit dan juga tulang belulang. Tiada spesifikasi harga memandangkan barang melibatkan hidupan liar dijual secara haram di pasaran gelap.

“Kaedah yang digunakan oleh pemburu haram bagi menangkap hidupan liar di negara ini adalah dengan menggunakan jerat dan senjata api,” katanya kepada ­Kosmo! Ahad baru-baru ini.

ANTARA bahagian badan hidupan liar yang dirampas Perhilitan.

Mengulas mengenai harga pasaran anggota badan haiwan tersebut, Abdul Kadir berkata, tanda harga tersebut dijangka terus meningkat susulan permintaan tinggi dan ‘barangan’ yang semakin berkurangan.

“Tangkal hidupan liar mampu dijual pada harga mencecah ribuan ringgit berdasarkan spe­sies hidupan liar. Spesies yang mempunyai harga tinggi di pasaran gelap adalah harimau belang dan gajah (gading).

“Berdasarkan harga sitaan Perhilitan, harga bagi sebatang gigi harimau antara RM50-RM100 sebatang,” katanya.

Tambah Abdul Kadir, kepercayaan masyarakat yang taksub kepada keberkesanan tangkal boleh menjurus kepada permintaan tinggi hidupan liar di pasaran gelap.

KUKU dan gigi harimau belang yang dirampas selepas memeriksa dua individu di dalam Rezab Hidupan Liar Krau, Pahang

Jelas beliau, ini akan memberi ancaman kepada hidupan liar akibat aktiviti pemburuan haram bagi mendapatkan bahagian atau terbitan hidupan liar untuk pasaran gelap seterusnya memberi kesan ke atas populasi spesies di habitat semula jadi.

“Hasil maklumat mengatakan tangkal ini digunakan untuk kepercayaan seperti kekebalan dan juga dalam percintaan. Ada sesetengah masyarakat bukan Islam menganggap ia satu kepercayaan, manakala bagi orang Islam ia adalah ajaran sesat.

“Cabaran Perhilitan adalah bagi mengekang aktiviti pemburuan haram yang berlaku di dalam negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan orang ramai akan te­rus memberikan sokongan dan membantu dengan menjadi mata dan telinga Jabatan Perhilitan melalui penyaluran maklumat dalam usaha melindungi khaza­nah negara supaya tidak diancam kepupusan.

“Kejadian sebegini berlaku akibat daripada aktiviti pemburuan haram dan lain-lain jenayah hidupan liar. Maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.

“Orang awam yang terlibat dalam aktiviti pemburuan haram boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 60, 61, 62 Akta 716 bagi hidupan yang dilindungi yang boleh membawa kepada hukuman denda minimum RM20,000 dan/atau penjara tujuh tahun.

“Selain itu, bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Seksyen 68, 69 dan 70 Akta 716 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM500,000 dan penjara maksimum 15 tahun,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN