fbpx

Serangan virus paksa Fadhil tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FADHIL terpaksa menarik diri daripada meneruskan saingan ACC 2024 disebabkan jangkitan virus. – AFP

HASRAT pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd. Zonis mempertahankan pingat emas acara satu kilometer (km) ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024 di New Delhi, India tidak tertunai apabila terpaksa menarik diri.

Fadhil yang meraih emas edisi tahun lalu di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan terpaksa mengambil keputusan tersebut kerana masalah kesihatan akibat jangkitan virus.

Selain 1km ujian masa, ­pelumba berusia 26 tahun itu juga terpaksa menarik diri daripada acara keirin.

“Selepas perbincangan ­dengan jurulatih dan pasukan perubatan, keputusan yang dibuat saya tidak dapat menyertai perlumbaan keirin dan 1km ujian masa. Saya mengalami jangkitan virus, sekali gus tidak dapat beraksi.

“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kejuaraan 1km ujian masa. Saya akan bangkit dan bersaing untuk kembali memenanginya pada ­tahun hadapan,” katanya.

Justeru, Fadhil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak meneruskan aksi pada ACC 2024 memandangkan keutamaannya ketika ini adalah memberi sepenuh perhatian terhadap proses pemulihan.

Pada ACC tahun lalu, Fadhil melakar sejarah apabila memenangi emas 1km ujian masa kali pertama dalam kariernya menerusi catatan masa satu minit (m) 00.559 saat (s).

Meskipun tidak beraksi acara 1km ujian masa, namun Fadhil masih boleh berbangga apabila membantu pasukan memenangi pingat perak menerusi pecut berpasukan bersama Muhammad Ridhwan Shahrom dan Umar Hasbullah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI