PETALING JAYA – Kompleks Beli Belah Tanah Abang di Jakarta, Indonesia menjadi lubuk terbaharu segelintir rakyat Malaysia untuk membeli baju raya ekoran harganya yang jauh lebih murah, berkualiti dan mempunyai rekaan terkini.
Rata-rata pembeli yang ditemui memberitahu, mereka bertindak sedemikian kerana kecewa dengan harga yang diletakkan oleh peniaga di negara ini yang dilihat semakin mengarut dan terlampau mahal.
Sebagai contoh, sepasang baju raya RM300 di sini menyamai tiga hingga empat pasang pakaian jika dibeli di Indonesia dengan nilai sama.
Nur Allysya Asheqin Rahimi, 26, berkata, dia tidak kisah mengeluarkan belanja untuk tiket kapal terbang, penginapan dan pengangkutan asalkan dapat membeli baju raya yang diidamkan dan sesuai dengan cita rasa.
“Saya baru balik dari sana pada Rabu lalu bersama tiga ahli keluarga dan keadaan di Tanah Abang sesak dengan rakyat Malaysia membeli baju raya.
“Di situ ada pelbagai rekaan serta corak terkini. Ada juga orang dari Brunei dan Singapura yang turut beli baju raya di situ,” katanya kepada
Kosmo! Ahad.

Menurut Nur Allysya, jarak Tanah Abang dengan hotel penginapannya kira-kira 100 meter dan sepanjang lima hari di situ, dia melihat ada sahaja rakyat Malaysia yang mendaftar masuk di situ untuk ke kompleks beli belah tersebut.
Tambahnya, kompleks itu penuh sesak ketika hari bekerja ekoran masing-masing ingin mendapatkan kebaya ‘lace’ labuh pada harga RM30 dan bermanik (RM40) dan boleh ditawar lagi.
“Seorang belanja RM500 boleh dapat tujuh pasang baju berkualiti tinggi dengan rekaan terkini. Jika di Malaysia, kita hanya dapat dua atau tiga pasang sahaja pada harga dan rekaan sama,” katanya.
Ujar penganalisis data itu, dia rasa sangat berbaloi walaupun terpaksa berhabis RM4,000 kerana berpuas hati dengan baju raya yang dibeli selain berpeluang melancong dan menikmati makanan yang enak.
Nashwa Abdul Matin, 22, pula memberitahu, selain harga murah, dia tergoda dengan corak terkini dan padanan warna menarik pakaian yang dijual di situ.
“Saya mula terjebak selepas melihat perkongsian rakyat Malaysia di TikTok. Memandangkan kedai jahit sudah tutup tempahan, saya dan ibu nekad pergi ke Tanah Abang,” katanya yang membelanjakan RM300 untuk empat pasang baju raya.

Menurut Nashwa, dia akan pergi lagi ke sana pada tahun depan tambahan pula video yang dikongsikannya di TikTok menjadi tular.
“Ramai tanya cara pergi ke sana dan saya ceritakan semuanya. Memang berbaloi,” katanya.
Bagi Siti Kalsom Mahmud, 31, selain Tanah Abang, dia turut pergi ke Manggar 2 untuk membeli lima pasang baju raya, kain, telekung dan beg untuk keluarga dengan modal RM700.
“Baju batik lelaki dan telekung bermula pada harga RM25. Kain ela yang sama berharga RM250 di Malaysia saya boleh dapat pada harga RM30 untuk empat meter,” katanya.
Menurut Siti Kalsom, selain membeli-belah, dia dapat melancong kerana tiket penerbangan dua hala dianggarkan RM300 seorang dan paling penting tidak ‘sangkut’ ketika pemeriksaan kastam.















