fbpx

Wanita hamil ditangkap khalwat dengan lelaki bujang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa ketika menahan wanita hamil bersama pasangannya di sebuah rumah di kawasan Kulim Hi-Tech, di sini tengah malam tadi.

KULIM – Seorang wanita hamil lima bulan dicekup berkhalwat bersama pasangannya dalam operasi pencegahan jenayah syariah di sebuah rumah di kawasan Kulim Hi-Tech, di sini tengah malam tadi.

Dalam operasi Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kira-kira pukul 12 tengah malam itu, wanita berusia 28 tahun terbabit ditemui di dalam rumah tersebut bersama seorang lelaki bujang berusia 29 tahun.

Pegawai Penguat Kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, berdasarkan maklumat, beliau bersama empat penguat kuasa melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan perumahan berkenaan.

Katanya, pihaknya mengetuk pintu dan memberi salam sebelum seorang wanita membuka pintu utama kira-kira enam minit kemudian.

“Pemeriksaan menemui seorang lelaki di sebuah bilik rumah itu dan hasil soal siasat mendapati mereka bukan suami isteri atau mahram.

“Ia menimbulkan syak berlakunya khalwat di rumah itu dan mereka ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat, wanita itu bekerja di Kulim, manakala suaminya bekerja di Ipoh, Perak dan mereka dipercayai baru tujuh bulan berkahwin.

Ujarnya, kesempatan tinggal berjauhan itu diambil oleh wanita terbabit ketika suaminya tiada di rumah untuk membawa lelaki itu tinggal bersamanya.

“Soal siasat juga mendapati wanita itu sudah setahun berkenalan dengan lelaki itu yang mana mereka bekerja di syarikat sama di kawasan Kulim Hi-Tech.

“Lelaki itu memberi alasan hanya singgah sekejap di rumah wanita terbabit, namun pemeriksaan lanjut mendapati dia tinggal di situ lebih dari sehari berdasarkan penemuan pakaiannya yang banyak di rumah tersebut.

“Pasangan itu ditahan dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan dan tangkapan serta diambil keterangan,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI