fbpx

Kilang proses e-waste didalangi warga asing diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini, diserbu pihak berkuasa hari ini. Foto oleh MOHD SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Bukan hanya menjadi penyebab pencemaran Sungai Linggi, sebuah kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Kampung Kuala Sawah, Rantau, di sini, turut dikesan berada dalam keadaan kotor serta menjijikkan.

Kilang yang didalangi oleh warga China dan pekerjanya pula terdiri daripada lebih 60 warga asing dengan majoritinya warga Myanmar sesuka hati membuang pelbagai sampah ke dalam sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kilang.

Menurut, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan, pihaknya mendapat aduan mengenai operasi kilang berkenaan dari orang awam.

“Kilang ini dimiliki oleh warga tempatan, namun disewakan kepada warga China sebanyak RM38,000 sebulan. Kilang ini mula beroperasi pada tahun 2020, namun terhenti dan kemudian pada tahun lalu mula beroperasi kembali.

“Hampir setiap hari barangan dari China dan Amerika Syarikat yang dibawa masuk melalui Port Klang yang diisytiharkan secara salah sebagai barang skrap di bawa ke sini untuk dileraikan dan diasingkan. Anggaran buangan yang diproses di sini lebih 200 tan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena operasi bersepadu melibatkan seramai 71 orang terdiri daripada polis dari Ibu Pejabat Polis Kotinjen (IPK) Negeri Sembilan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhilitan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini.

Dalam serbuan berkenaan, tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) iaitu lima warga Myanmar dan dua lagi warga Bangladesh berjaya ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, manakala selebihnya melarikan diri.

Tambah Veerapan lagi, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat sembilan kesalahan yang telah dilakukan iaitu antaranya di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Seksyen 3(1) undang undang kecil Pelesenan Tred iaitu menjalankan perniagaan tanpa lesen PBT serta Seksyen 112(1BA) Akta Cukai Pendapatan 1967 iaitu gagal mengemukakan borang nyata cukai pendapatan.

Selain itu menurut beliau, terdapat tiga ekor Tung Tung iaitu haiwan dilindungi berada di kilang berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan rakyat di negeri ini untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak Kerajaan Negeri dalam melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar yang mampu memberi kesan negatif kepada banyak pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI