fbpx
Gambar hiasan

Cukupkan duit, ilmu sebelum fikir soal kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARANGKALI bagi sesetengah individu, kahwin di usia muda dapat mengelakkan maksiat mahupun menjauhkan diri daripada terjerumus dalam pergaulan tanpa batas.

Ada juga segelintir anak muda memilih berkahwin awal hanya kerana mengikut trend semasa selepas melihat rakan sekeliling sudah berumah tangga selain bimbang dicop teruna dan anak dara tua sendu.

Hakikat hidup ada hitam putihnya, begitu juga perkahwinan. Menggoncang tangan tok kadi berserta lafaz akad tidak sekadar menghalalkan persetubuhan menjamu nafsu, sebaliknya ikatan suci itu datang bersama tanggungjawab dan amanah.

Ini termasuk penyediaan kewangan, seperti membiayai keperluan harian, bayaran rumah dan bil-bil, serta persediaan untuk masa hadapan seperti pendidikan anak-anak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan bahawa haram hukumnya jika mendirikan rumah tangga tanpa kesiapsiagaan utuh, selain bakal mengundang sejuta derita.

“Saya ingin menasihatkan anak muda supaya menangguhkan dahulu pernikahan sehingga mereka benar-benar bersedia memikul tanggungjawab berkeluarga.

“Di sudut hukum Islam, adalah haram jika seseorang berkahwin dalam keadaan tidak bersedia untuk memikul beban kehidupan berkeluarga yang meliputi aspek fizikal, mental dan kewangan. Jangan ambil mudah hanya kerana trend.

“Ambillah kesempatan pada usia muda untuk mencari bekalan ilmu atau kemahiran sebanyak mungkin demi kesenangan hidup pada masa depan,” tegasnya.

Bagi Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh pula, adalah penting untuk mereka yang ingin berkahwin awal agar memperbaiki keadaan kewangan selain mencari nasihat pakar perkahwinan.

“Dengan persediaan dan sokongan yang mencukupi, peluang untuk membina rumah tangga yang stabil akan meningkat. Perkahwinan awal bukanlah solusi ‘one size fits all’ kerana keputusan ini harus dipertimbangkan secara teliti.

“Faktor kematangan juga perlu diambil kira. Perkahwinan melibatkan perubahan besar dalam gaya hidup yang memerlukan kedewasaan emosi, keupayaan berkomunikasi, menyelesaikan konflik, dan beradaptasi dengan perubahan dalam kehidupan seharian.

“Mengambil kira faktor kewangan, kedewasaan emosi, dan persediaan yang mencukupi adalah penting bagi meningkatkan peluang kejayaan mendepani cabaran dalam perkahwinan pada usia muda,” ujarnya panjang lebar.

Mengulas lanjut mengenai kestabilan kewangan dalam perkahwinan, Noorizuddin berkata, secara umumnya, tidak semua anak muda mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi dalam mengurus kewangan.

“Pendidikan formal mengenai pengurusan kewangan sering kali tidak mencukupi, dan perkara ini boleh menyebabkan kekurangan pemahaman mengenai pentingnya menjaga kewangan serta membuat keputusan bijak,” ujarnya.

“Setiap individu adalah unik, ini bergantung pada pendidikan dan pengalaman individu terhadap pentingnya mengurus kewangan dengan betul dalam berumah tangga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN