fbpx

Inisiatif TCS bantu pesakit kanser pediatrik dapat pengiktirafan daripada UNGCMYB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Urusan NCSM, Dr. Murallitharan Munisamy (dua dari kanan) dan Jeevan Rajoo (tiga dari kanan) pada pada majlis penyampaian anugerah kepada TCS di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Tata Consultancy Services (TCS), peneraju global dalam perkhidmatan teknologi maklumat (IT), penyelesaian digital dan perniagaan, telah mendapat penganugerahan, Pioneer Sustainable Development Action Recognition di United Nations (UN) Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) Forward Faster Sustainability Awards 2023.

Pengiktirafan ini meraikan impak transformatif CANSupport, sebuah inisiatif TCS yang membawa kepada revolusi penjagaan kanser pediatrik di Malaysia. 

Dibangunkan dengan kerjasama Malaysian Aviation Group (MAG) dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM), CANSupport dilengkapi dengan aplikasi komprehensif yang memenuhi keperluan penjagaan kesihatan segera bagi kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser melalui ciri-ciri inovatif seperti pengesanan simptom, bantuan perjalanan untuk rawatan dan papan pemuka doktor yang dilengkapi dengan analisis data lanjutan.

Di Malaysia, terdapat lebih 4,300 kanak-kanak menghidap kanser.

Ketua Pegawai Eksekutif TCS, Jeevan Rajoo berkata, penghargaan daripada UNGCMYB ini mengiktiraf usaha berterusan syarikat untuk membangunkan teknologi melalui Tech for Good, seperti yang terkandung dalam CANSupport. 

“Sehingga kini, kami telah membawa perubahan kepada 1,694 nyawa, termasuk 726 penerima langsung dan 968 penerima tidak langsung daripada program tersebut.

“CANSupport berada pada landasan yang betul dan berpotensi untuk membantu lebih ramai pesakit pada tahun 2024 dalam perjuangan mereka menentang kanser.

“Perkongsian strategik dengan MAG dan NCSM adalah asas kejayaan kami.

“Sokongan berterusan mereka telah membolehkan kami menyepadukan teknologi dengan perkhidmatan logistik dan penjagaan kesihatan yang penting, sekali gus menyediakan perkhidmatan yang menyeluruh dan berpusat,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Selain itu. Pengarah Urusan NCSM, Dr Murallitharan Munisamy berkata, pengiktirafan ini bukan sekadar bukti usaha gigih persatuan itu, tetapi ia juga memberi sinar kepada ketabahan dan keberanian pesakit yang memerangi kanser. 

“Kerjasama kami dengan TCS adalah penting dalam memajukan penjagaan kesihatan yang tidak berbelah bahagi dan juga menyemarakkan keazaman kami untuk terus membuat perubahan dalam kehidupan kanak-kanak yang terjejas oleh penyakit yang dahsyat ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI