fbpx

Lelaki bakar kereta peronda, conteng dinding MRT berdepan penjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Hasif (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini.

PETALING JAYA – Seorang pekerja p-hailing yang tular membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, minggu lalu didakwa di dua mahkamah di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat.

Bagaimanapun tertuduh Mohamad Hasif Syazani Zulkifle, 26, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr. Syahliza Warnoh dan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

Di Mahkamah Sesyen, Mohamad Hasif didakwa melakukan khianat dengan api niat dengan membakar Proton Preve berwarna putih milik polis bantuan Prasarana.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Stesen MRT Mutiara Damansara di sini pukul 1.17 pagi pada 15 Februari lalu (2024) yang didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Sementara di Mahkamah Majistret, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding milik stesen itu di tempat sama pukul 1.10 pagi dan tarikh yang sama.

Justeru pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu semasa prosiding Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim di Mahkamah Sesyen mencadangkan jaminan RM15,000 dan Noor Khairun Nisa Noor Harun di Mahkamah Majistret mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pihak pendakwaan juga turut memohon syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun peguam bela tertuduh, Kailash Sharma, memohon jaminan minimum apabila menegaskan anak guam tiada risiko melarikan dan tiada rekod jenayah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM9,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua tuduhan dan syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Tarikh 21 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes.

Kosmo! pada 15 Februari lalu, melaporkan seorang pekerja p-hailing ditahan selepas disyaki membakar kereta polis bantuan dan menconteng perkataan jelik di hentian bas di MRT Mutiara Damamsara di sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd. Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sejurus selepas ditahan, siasatan polis mendapati tindakan suspek itu semata-mata mahu meraih tontonan tinggi di TikTok.

Semakan di akaun media sosial pula mendapati suspek telah memuat baik video kebakaran tersebut yang berdurasi lima saat di TikTok dipercayai akaun miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI