GUA MUSANG – Lebih 1,500 penduduk gempar apabila seekor lembu betina bunting dijumpai mati dengan keadaan janinnya terkeluar dipercayai dibaham harimau belang di kawasan ladang di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, di sini minggu lalu.
Kejadian yang berlaku pada malam Jumaat lalu itu adalah penemuan pertama kali bangkai lembu yang diserang harimau belang dalam tempoh lebih 40 tahun penubuhan RKT itu.
Sebelum ini, penduduk mendakwa mereka berdepan dengan kejadian misteri kehilangan kira-kira 20 ekor anak lembu di ladang RKT Kesedar Chalil sejak setahun lalu angkara harimau kumbang.
Penternak, Arif Ismail, 50, berkata, dia dimaklumkan pekerja ladang mengenai penemuan bangkai lembu itu pada malam Jumaat minggu lalu.
Katanya, ketika sampai di lokasi, lembu itu sudah mati dengan janinnya sudah terkeluar dari perut ternakan tersebut.
“Saya datang ke lokasi kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi keesokan harinya dan lihat lembu seberat 90 kilogram itu sudah diseret sejauh 80 meter dari tempat diserang,” katanya semalam.
Ketua Peneroka RKT Chalil, Suhaimi Che Hamid, 53, berkata, penduduk kini bimbang dengan keselamatan mereka dan berharap pihak berwajib dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
Katanya, laporan telah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Ada penduduk terserempak dengan dua ekor harimau belang di tepi jalan ketika dalam perjalanan keluar dari RKT Kesedar Chalil kira-kira pukul 10 malam kelmarin.
“Penduduk kini mengambil langkah berjaga-jaga selepas ada yang melihat kesan tapak kaki harimau berhampiran rumah dan terserempak pak belang itu di kawasan pondok pengawal keselamatan,” ujarnya.
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkenaan masalah itu.
Katanya, beliau berharap tambahan anggota dapat dilakukan Perhilitan bagi menangani konflik haiwan liar yang semakin meruncing di daerah ini.














