fbpx

Harga kawalan beras dimuktamad minggu depan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) hadir ke Program Jualan Termurah Madani di Lembah Makanan, Bandar Perda di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG PERAI – Kerajaan dijangka memuktamadkan harga kawalan beras pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sepatutnya diumumkan lebih awal namun disebabkan beberapa hal lain yang lebih mendesak sehingga terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu buat masa ini.

“Tak boleh rendah sangat tapi, saya yakin boleh dikurangkan (harga beras) kalau kita teliti boleh (dapat) daripada mana, kontraktor itu bagi kepada siapa, untung berapa banyak dan sebagainya. Kalau rugi, tak ada orang nak berniaga (beras).

“(Untung) boleh tapi jangan tinggi sangat. Kalau untung tinggi sangat, harga di pasaran jadi dah tinggi. Jadi, kalau untung tinggi sangat, kita kata kurang sikit.

“Kita tengok pemasaran dia lagu (macam) mana. Kalau semua ini kita boleh buat dan ini yang pegawai-pegawai kita tekun untuk jalankan,” katanya ketika berucap sempena kunjungannya ke Program Jualan Termurah Madani di Lembah Makanan, Bandar Perda di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan berhasrat menjadikan Program Jualan Termurah Madani sebagai salah satu daripada program di bawah kendalian kerajaan sepenuhnya selepas ini.

Katanya, ini susulan penerimaan baik rakyat negara ini terhadap program tersebut yang diadakan bertujuan mengurangkan beban mereka khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin tinggi ketika ini.

“Saya ucap terima kasih kepada sahabat saya, Syed Hussin (Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal). Daripada Program Jualan Rahmah dan sebagainya, inisiatif beliau nampaknya telah bertapak di banyak kawasan Parlimen lain, daerah-daerah dan sebagainya.

“Jadi, saya minta beliau untuk bersama dalam Naccol (Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup) untuk kemukakan cadangan beliau supaya kerajaan boleh ambil tindakan bersama termasuk berkaitan Beras Madani.

“Saya juga dah beritahu saudara Mat Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu) untuk bincang kalau boleh jadikan ini (Jualan Termurah Madani) sebagai program kerajaan setelah diteliti oleh semua jabatan dan agensi kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI