fbpx

PN anjur Persidangan Meja Bulat bincang tindakan susulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat bagi mencadangkan tindakan-tindakan susulan bagi memperkasakan kedudukan perundangan syariah dan memelihara kepentingan umat Islam negara ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persidangan itu akan melibatkan penyertaan pakar-pakar perlembagaan dan perundangan Islam, para ulama, ilmuwan Islam serta pemegang taruh berkaitan.

Kata beliau, sebuah Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga akan dibentuk oleh PN untuk tujuan sama.

“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN pada 14 Februari lalu telah membincangkan dan memperhalusi secara khusus isu keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan kesannya terhadap perundangan syariah, umat Islam dan masyarakat Malaysia amnya.

“PN memandang serius keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut yang diyakini akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Terdahulu, Muhyiddin memaklumkan,
Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan beliau tersebut dihadiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan berkuat kuasa 12 Februari 2024.

Kata beliau, PN mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas sumbangan dan jasanya sepanjang memikul amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PN Negeri Sembilan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI