fbpx

Patuhi titah nasihat Sultan Selangor – Fahmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi

PETALING JAYA – Titah nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu dijadikan panduan serta dituruti semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau menjunjung kasih di atas titah nasihat serta pandangan Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berkenaan perkara tersebut.

“Semua pihak kini perlu bertenang, hormati proses Jawatankuasa Khas yang telah ditubuh di bawah MKI yang diberi masa setahun untuk menyediakan cadangan-cadangan dan tidak mendahului proses yang telah diumum ini.

“Pada masa sama, usahlah diteruskan polemik tidak sihat dan mengelirukan demi kemaslahatan masyarakat. Kementerian Komunikasi akan memberikan kerjasama penuh serta menuruti titah nasihat dan pandangan Sultan Selangor,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI sempena Mesyuarat MKI kali Ke-71 di Putrajaya hari ini bertitah agar semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan.

Baginda turut bertitah kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi oleh rakyat Malaysia.

Sultan Sharafuddin bertitah, dalam menangani isu berbangkit apa yang lebih penting adalah usaha mencari jalan untuk mengatasi permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut.

“Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini,” titah baginda.

Baginda seterusnya bertitah semua pihak terutama umat Islam supaya bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan.

Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI